Pelajar Tingkatan Satu dakwa dipukul senior hingga sesak nafas

Tangkap layar video tular yang mendakwa seorang pelajar dipukul setelah terlibat dalam pergaduhan di sebuah sekolah di daerah Kuala Nerus.
Tangkap layar video tular yang mendakwa seorang pelajar dipukul setelah terlibat dalam pergaduhan di sebuah sekolah di daerah Kuala Nerus.
A
A
A

KUALA NERUS - Seorang pelajar Tingkatan Satu mendakwa dipukul pelajar Tingkatan Dua sehingga sesak nafas dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di daerah ini pada Khamis.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Abdul Muie Ngah berkata, pihak pengurusan sekolah telah menghantar pelajar terbabit ke sebuah klinik untuk menerima rawatan sejurus menerima aduan berhubung kejadian itu.

"Kita masih menyiasat insiden yang berlaku, ia dikatakan melibatkan pergaduhan antara seorang pelajar Tingkatan Satu dan pelajar Tingkatan Dua.

"Berdasarkan laporan diterima kejadian itu dikatakan berlaku di kawasan sekolah selepas waktu persekolahan dan pelajar ingin pulang ke rumah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Menurut Abdul Muie, pihak sekolah telah bertemu dengan penjaga pelajar terlibat yang didakwa memukul pelajar Tingkatan Satu itu.

"Petang ini pengetua dan pihak jabatan akan pergi ke rumah pelajar yang didakwa dipukul untuk berbincang bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut," katanya.

Pada Sabtu tular rakaman video yang dimuat naik menerusi aplikasi TikTok mendakwa mangsa ditumbuk sehingga sesak nafas dan dipijak hingga pengsan.

Berdasarkan keterangan yang ditulis pada video tersebut, kejadian itu dikatakan dilihat oleh ramai pelajar namun tidak dapat berbuat apa-apa.

Artikel Berkaitan: