417 pelanggan kelab malam haram ditahan ketika pesta 'Halloween'

KUALA LUMPUR - Lebih 400 pengunjung sebuah pusat hiburan dalam sebuah bangunan di Jalan Sultan Ismail di sini, ditahan dalam serbuan polis pada Ahad.
Rata-rata pelanggan berusia 20-an hingga 40-an itu ditahan ketika sedang leka meraikan pesta 'Halloween' dengan suasana dan berpakaian yang menyeramkan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin, berkata, serbuan dijalankan ke atas pusat hiburan yang terletak di tingkat 5 di bangunan itu pada jam 2.30 pagi.
"Berdasarkan maklumat dan risikan yang dijalankan, premis ini menjalankan aktiviti hiburannya tanpa lesen yang sah.
"Selain itu, risikan yang dijalankan pihak polis mendapati terdapatnya aktiviti yang menjurus kepada penyalahgunaan dadah," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Ahmad Azwan berkata, susulan itu, pihaknya melakukan pemeriksaan menyeluruh selain menahan kesemua pengunjung untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
"Hasil pemeriksaan, seramai 299 pelanggan lelaki dan 118 pelanggan wanita ditahan untuk siasatan lanjut.
"Tujuannya adalah untuk proses dokumentasi selain mereka turut diarahkan menjalani ujian air kencing," katanya.
Ahmad Azwan berkata, pihaknya akan terus melakukan pemantauan dari masa ke masa khusus dalam menindaklanjuti sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.
"Kita mengalu-alukan sebarang maklumat dari orang ramai sekiranya mengetahui sebarang aktiviti berhubung penyalahgunaan dadah dan aktiviti tidak bermoral di sekitar daerah berkenaan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
