Warga Poland teruja sertai Keretapi Sarong 2023

Agata
Agata
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pempengaruh TikTok warga Poland teruja sertai program Keretapi Sarong 2023 (KS2023) yang diadakan sempena sambutan Hari Malaysia ke-60 di Dataran Merdeka pada Sabtu.

Wanita yang dikenali sebagai Agata itu berkata, acara tahunan tersebut kali pertama disertainya sepanjang lapan tahun menetap di Malaysia.

“Sebelum ini saya pernah datang di sini untuk melihat sambutan Hari Kemerdekaan tetapi ia kali pertama melihat semua orang berkumpul dengan memakai pakaian tradisional sempena Hari Malaysia.

“Saya tidak dapat sertainya pada tahun sebelum kerana menjelajah ke negara lain serta disebabkan pandemik Covid-19.

“Saya sangat tersentuh hati dan teruja melihat kepelbagaian pakaian masyarakat berbilang kaum seperti Melayu, Cina, India, Iban dan lain-lain,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada acara itu.

Peserta berhimpun menggayakan pakaian tradisional dalam acara Keretapi Sarong yang diadakan di Dataran Merdeka pada Sabtu.
Peserta berhimpun menggayakan pakaian tradisional dalam acara Keretapi Sarong yang diadakan di Dataran Merdeka pada Sabtu.

Idea Keretapi Sarong bermula pada tahun 2012 di bawah kumpulan komuniti Random Alphabet sebelum Locco Malaysia mengambil alih pada 2017.

Acara berkenaan menghimpunkan masyarakat berbilang kaum yang menggayakan pakaian Sarong dan etnik lain di sini selepas membuat perjalanan kereta api dari stesen terpilih iaitu Putrajaya Sentral, Subang Jaya, Bandar Utama, Ampang, Gombak, Kajang dan KL Sentral.

Artikel Berkaitan:

Peserta membuat persembahan ‘flash mob’ sebelum berkumpul di KL Sentral dan menaiki transit aliran ringan (LRT) beramai-ramai ke tempat perhimpunan utama iaitu di Dataran Merdeka.

Tambah Agata, peluang tersebut tidak dilepaskan pada tahun ini untuk melihat sendiri kepelbagaian masyarakat berbilang kaum memperagakan pakaian etnik masing-masing.

“Saya seronok melihat masyarakat bersepakat untuk berhimpun di sini dengan busana masing-masing yang melambangkan perpaduan antara satu sama lain.’

“Saya harap dapat menyertainya lagi pada tahun hadapan,” ujarnya.