Ribuan peserta teruja, sambutan luar biasa Keretapi Sarong

Peserta Keretapi Sarong membanjiri Dataran Merdeka sempena Keretapi Sarong pada Sabtu.
Peserta Keretapi Sarong membanjiri Dataran Merdeka sempena Keretapi Sarong pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ribuan rakyat Malaysia membanjiri Dataran Merdeka di sini dengan menggayakan pakaian tradisional masyarakat berbilang kaum dalam acara Keretapi Sarong 2023 (KS2023) sempena Hari Malaysia.

Pelajar, Kayleigh Lim Hiew Tung, 18, berkata, ia merupakan kali pertama dia menyertai acara tersebut dan berasa terkejut dengan sambutan luar biasa oleh orang ramai.

Kayleigh (kiri) dan rakan mengenakan kebaya tradisional.
Kayleigh (kiri) dan rakan mengenakan kebaya tradisional.

“Ini kali pertama saya menyertainya dan memilih untuk memakai kebaya tradisional ini kerana merasakan ia unik serta cantik.

“Walaupun saya kaum Cina, saya berbangga dapat memakainya dalam acara ini. Ramai yang datang untuk mengambil gambar.

“Saya sanggup tunggu di Transit Aliran Massa (MRT) Kajang, Selangor untuk menyertai mereka membuat ‘flash mob’ di setiap hentian stesen sehingga yang terakhir di KL Sentral seterusnya datang ke dataran ini,” katanya ketika acara KS2023 di sini pada Sabtu.

Acara berkenaan menghimpunkan masyarakat berbilang kaum dengan menggayakan pakaian Sarong dan etnik lain selepas membuat perjalanan kereta api dari stesen terpilih iaitu Putrajaya Sentral, Subang Jaya, Bandar Utama, Ampang, Gombak, Kajang dan KL Sentral.

Peserta akan membuat persembahan ‘flash mob’ sebelum berkumpul di KL Sentral dan menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) beramai-ramai ke tempat perhimpunan utama iaitu di Dataran Merdeka.

Artikel Berkaitan:

Tinjauan Sinar Harian mendapati kebanyakan peserta turut mengenakan busana etnik-etnik lain seperti Iban, Minangkabau, Kadazan, Baba dan Nyonya.

Pengunjung yang mengenakan pakaian etnik Iban, Asmaq Mohd Yunus, 25, turut teruja kerana pertama kali menyertai program itu dengan menampilkan pakaian berbeza daripada peserta lain.

Asmaq Mohd Yunus berpakaian etnik Iban.
Asmaq Mohd Yunus berpakaian etnik Iban.

“Saya bersemangat sertai peserta lain berhimpun dan memilih mengenakan pakaian ini kerana diinspirasikan oleh majikan sendiri yang berasal dari etnik berkenaan,” ujarnya.

Shahzarin Shahruddin, 31, dan Taneeya Vicknesri, 35, masing-masing dari kaum Melayu dan India turut berkongsi keterujaan kerana berpeluang menyertai peserta lain serta menyaksikan peragaan pakaian tradisional masing-masing.

Shahzarin Shahruddin mengenakan pakaian Sarong.
Shahzarin Shahruddin mengenakan pakaian Sarong.

“Saya seronok lihat mereka memperagakan pakaian masing-masing walaupun berbeza seperti kaum Melayu memakai sari,” kata Shahzarin.

“Semoga tahun hadapan saya dapat sertai lagi acara ini. Walaupun terpaksa bersesak dengan cuaca yang panas, ia berbaloi untuk datang ke sini,” kata Taneeya.