Barang tanpa cukai, penyeludupan hidupan liar RM726.4 juta dirampas

PDRM berjaya merampas pelbagai barangan tanpa cukai dan penyeludupan hidupan liar berjumlah RM726.4 juta pada tahun ini bermula Januari hingga 14 September.
PDRM berjaya merampas pelbagai barangan tanpa cukai dan penyeludupan hidupan liar berjumlah RM726.4 juta pada tahun ini bermula Januari hingga 14 September.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya merampas pelbagai barangan tanpa cukai dan penyeludupan hidupan liar berjumlah RM726.4 juta pada tahun ini bermula Januari hingga 14 September.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, kejayaan itu dicapai menerusi pelbagai operasi dijalankan PDRM termasuk Op Kontraban, Op Tiris dan Op Bersepadu Khazanah.

Beliau berkata, menerusi operasi dijalankan, seramai 3,764 individu telah ditahan dan pelbagai barangan dirampas.

Kata beliau, antara barangan dirampas adalah ubat-ubatan palsu, barang tidak bercukai kastam, penyeludupan haiwan serta hidupan liar.

"Malah pada 7 September lalu, hasil risikan dijalankan oleh Perisikan Siasatan Khas (PSK) JKDNKA Bukit Aman bersama Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras telah melancarkan tiga serbuan di Kajang, Selangor.

"Hasil serbuan itu berjaya menumpaskan satu sindiket kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras tidak bercukai kastam serta pembongkaran kewujudan dua makmal haram memproses arak tiruan jenis Liquor bagi pasaran sekitar Lembah Klang," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Hazani
Hazani

Hazani berkata, seramai 10 individu yang merupakan lima lelaki dewasa warga tempatan dan lima lelaki warga asing ditahan dalam serbuan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, sejumlah 73,800 karton rokok pelbagai jenis dan sebanyak 24,573 kotak minuman keras jenis Liquor yang kedua-duanya tanpa cukai kastam.

Jelasnya, jumlah nilai rampasan itu dianggarkan sebanyak RM36.08 juta termasuk nilai cukai.

Menerusi serbuan itu juga katanya, JKDNKA turut merampas peralatan dan mesin memproses minuman keras serta tiga buah kenderaan pelbagai jenis dengan anggaran bernilai RM395,575.

"Kesemua suspek telah ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

"Siasatan lanjut akan dilakukan di bawah Seksyen 116C Akta Kastam dan kes turut disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 serta Akta Imigresen 1959/63," ujarnya.