Rumah Ngaji konvoi 140 km demi al-Quran

Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) sanggup berkonvoi sejauh 140 kilometer (km) bermula dari Kota Bharu ke Paloh, Gua Musang dalam usaha mengajak orang ramai menjadikan bacaan al-Quran sebagai amalan.
Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) sanggup berkonvoi sejauh 140 kilometer (km) bermula dari Kota Bharu ke Paloh, Gua Musang dalam usaha mengajak orang ramai menjadikan bacaan al-Quran sebagai amalan.
A
A
A

GUA MUSANG - Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) sanggup berkonvoi sejauh 140 kilometer (km) bermula dari Kota Bharu ke Paloh, Gua Musang dalam usaha mengajak orang ramai menjadikan bacaan al-Quran sebagai amalan.

Konvoi jelajah pencinta al-Quran itu melibatkan penyertaan 40 buah motosikal dan 20 kereta bermula dari Pasar raya Mydin Tunjong ke Masjid Sultan Ahmad (Keputeraan) Paloh 2.

Pengerusinya, Datuk Adnan Hashim berkata, jika sebelum ini mereka telah ke Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh dan kali ini destinasi ke hulu Kelantan menjadi pilihan.

"Misi yang kita bawa ialah untuk mengajak masyarakat kembali kepada al-Quran bukan sekadar baca tapi faham dan amal.

"Selain itu mengambil berkat hari Jumaat, turut diadakan ialah tazkirah dan tadabur al-Quran," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurut beliau, kuiz al-Quran turut diadakan bagi menguji tahap kefahaman peserta dan masyarakat tempatan.

Ujarnya, lebih 600 peserta terdiri daripada ahli konvoi dan penduduk setempat telah menjayakan program tersebut.

Adnan memberitahu, program itu bermula 9 September lalu dari Kota Bharu ke Bachok seterusnya ke Pasir Puteh, Gua Musang, Tumpat, Pasir Mas, Machang, Kuala Krai, Tanah Merah, Jeli dan akan berakhir di Kota Bharu pada 14 Oktober ini.

Artikel Berkaitan:

"Kami berhasrat menjadikan program ini sebagai acara tahunan masa akan datang dengan perancangan yang lebih baik melalui penanda aras daripada program pertama tersebut.

“Peserta jelajah akan ke kawasan tumpuan orang ramai seperti di pasar tani, pasar malam, pusat beli-belah dan pantai untuk memberikan syarahan ringkas dan penerangan berkaitan al-Quran selain turut akan menyampaikan bakul makanan," katanya.