Waris anggota Rela meninggal pada hari perbarisan terima faedah PERKESO

Mohammad Bakhtiar (kanan) menyerahkan baucer Faedah Pencen Penakat kepada anak Allahyarham Muhammad Noh.
Mohammad Bakhtiar (kanan) menyerahkan baucer Faedah Pencen Penakat kepada anak Allahyarham Muhammad Noh.
A
A
A

SEREMBAN - Waris kepada anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang meninggal dunia selepas rebah ketika perbarisan sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Majlis Bandaraya Seremban bulan lalu menerima Faedah Pencen Penakat dan Faedah Orang Tanggungan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Pengarah PERKESO Negeri Sembilan, Mohammad Bakhtiar Mohamad Akhir menyampaikan baucer Faedah Pencen Penakat kepada anak Allahyarham iaitu Ahmad Harraz Muhammad Noh di Wisma PERKESO Negeri Sembilan pada Khamis.

PERKESO Negeri Sembilan dalam kenyataannya memaklumkan, isteri dan anak-anak Allahyarham turut menerima faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000 yang dibayar pada 4 September lalu, manakala pencen penakat RM979.17 dibayar pada setiap bulan.

"Sejurus mendapat maklumat mengenai berita kematian Muhammad Noh menerusi media massa dan Facebook, Skuad PERKESO Prihatin Seremban telah mengambil tindakan segera dan membuat semakan mengenai arwah.

"Semakan mendapati bahawa waris layak mendapat Faedah PERKESO berdasarkan caruman yang dibuat Muhamad Noh di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 iaitu sebelum beliau bekerja sendiri sebagai angggota Rela," katanya.

Tambahnya, Allahyarham juga merupakan salah seorang pencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Bekerja Sendiri.

Sementara itu, PERKESO turut menyeru individu yang bekerja sendiri supaya mendaftar dan mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 untuk perlindungan mereka dan keluarga jika berlaku apa-apa musibah sewaktu melakukan aktiviti pekerjaan.

"Skim ini yang pada permulaannya diwajibkan ke atas sektor pengangkutan penumpang iaitu pemandu teksi, e-hailing dan pemandu bas yang bekerja sendiri secara berperingkat mulai 1 Jun 2017, telah diperluaskan kepada 19 lagi sektor tidak formal sejak 1 Januari 2020.

Artikel Berkaitan:

"Kini diperluaskan lagi kepada 20 sektor yang merangkumi pelbagai sektor seperti pengangkutan penumpang, penghantar makanan, pertanian, penternakan dan pelbagai lagi," katanya.