SKSSR: Kakitangan awam disaran carum untuk isteri

Sivakumar (kiri) beramah mesra bersama pengunjung pada Majlis Perasmian Karnival Kerjaya MyFutureJobs dan Skim Keselamatan Pekerjaan Rakyat Terengganu 2023 di KTCC Mall hari ini. - Foto Bernama
Sivakumar (kiri) beramah mesra bersama pengunjung pada Majlis Perasmian Karnival Kerjaya MyFutureJobs dan Skim Keselamatan Pekerjaan Rakyat Terengganu 2023 di KTCC Mall hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kakitangan awam disarankan supaya membuat caruman Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) untuk isteri masing-masing sebagai perlindungan khas sewaktu menguruskan rumah tangga.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, setakat ini kesedaran orang ramai terhadap skim itu masih rendah, justeru kaedah caruman melalui suami untuk isteri merupakan antara inisiatif yang boleh dibuat bagi meningkatkan jumlah mereka yang dilindungi skim itu.

"Sasaran kita untuk capai 500,000 pencarum tahun ini dan saya ada lebih kurang enam bulan lagi untuk capai sasaran itu.

"Saya bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sedang ambil segala insiatif untuk beri kesedaran kepada suri rumah dan suami, penjawat awam (untuk mencarum)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya Myfuturejobs dan SKSSR 2023 di sini hari ini.

Menurutnya sejak dilancarkan pada 1 Dis 2022 hingga 2 Julai lepas, seramai 178,710 suri rumah di seluruh negara telah dilindungi SKSSR.

Sivakumar berkata, jumlah itu bagaimanapun masih rendah, sedangkan faedah perlindungan yang akan diperoleh suri rumah menerusi skim itu sangat bermanfaat walaupun dengan bayaran caruman lebih kecil berbanding skim insurans lain.

Beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) untuk mencari mekanisme terbaik bagi melaksanakan bayaran caruman membabitkan penjawat awam.

Menurutnya, sejak program itu bermula, sejumlah RM350,000 faedah telah dibayar kepada suri rumah yang mencarum membabitkan 145 kes di seluruh negara.

Sivakumar turut menyeru semua pihak termasuk pemimpin masyarakat agar sama-sama memberi kesedaran kepada orang ramai untuk menyertai skim itu, selain menyarankan badan bukan kerajaan serta syarikat swasta menaja caruman SKSSR demi kebajikan pekerja mereka sebagai tanggungjawab sosial korporat.

SKSSR memberi perlindungan kepada suri rumah menerusi faedah hilang upaya kekal, perubatan dan pemulihan, elaun keuzuran, bantuan dialisis, pencen penakat dan pengurusan mayat.

Semua suri rumah berusia bawah 55 tahun dan menguruskan rumah tangga sepenuh masa atau separuh masa, serta berkahwin atau bujang, layak menyertai skim itu dengan caruman RM120 bagi tempoh 12 bulan, yang dibayar secara lebih awal. - Bernama