Segerakan pelantikan ketua kampung

Mohd Shazaly (duduk, tengah) dan Badrul Hisham (dua dari kanan) ketika sidang akhbar menggesa kerajaan Perak menyelesaikan isu pelantikan ketua kampung terutama di kawasan Kampung Gajah.
Mohd Shazaly (duduk, tengah) dan Badrul Hisham (dua dari kanan) ketika sidang akhbar menggesa kerajaan Perak menyelesaikan isu pelantikan ketua kampung terutama di kawasan Kampung Gajah.
A
A
A

PASIR SALAK - Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah menggesa kerajaan negeri memuktamadkan pelantikan pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau ketua kampung yang tertangguh hampir setahun.

Setiausahanya, Mohd Shazaly Zainal Abidin berkata, tindakan kerajaan Perak melewatkan pelantikan lebih 50 ketua kampung di daerah kecil Kampung Gajah itu akan membantutkan pelan pembangunan atau kemajuan komuniti setempat.

"Fungsi utama JPKK adalah membuat perancangan dan pelaksanaan projek selain menggerakkan penglibatan komuniti setempat serta menjadi perantaraan dalam menyalurkan aduan kepada pihak berkuasa.

"Pejabat Penghulu Mukim tidak mampu untuk mengambil peranan keseluruhan kerana melibatkan bilangan kampung yang banyak, kekurangan masa untuk turun kelapangan selain menghadiri mesyuarat dan program kerajaan," katanya dalam sidang akhbar di Kampung Kepala Pulau, Kampung Gajah pada Jumaat.

Menurut Mohd Shazaly, isu pelantikan ketua kampung itu akan memberi kesan kepada kerajaan negeri dalam menjalankan tugas dengan baik di kawasan pembangkang.

"Kita dapat makluman bahawa mukim di bawah kawasan pentadbiran daerah Hilir Perak sudah menerima lantikan pada Jun lalu.

"Sudah tiga bulan berlalu, lantikan ketua kampung di daerah ini masih belum selesai. Isu ini perlu dipandang serius agar pengurusan dan kemajuan komuniti kampung segera dilaksanakan sejajar dengan polisi kerajaan Malaysia Madani," katanya.

Salah seorang penduduk, Badrul Hisham Uda, 62, berkata, rumahnya kini menjadi tumpuan penduduk setelah namanya dicalonkan sebagai ketua kampung Kepala Pulau/Kota.

Artikel Berkaitan:

"Saya ada menerima panggilan yang mengucapkan tahniah dan diminta menghadiri satu majlis. Namun, majlis itu ditunda tanpa sebab sehingga kini.

"Sekiranya ada menerima watikah pelantikan itu, saya dengan senang hati boleh melaksanakan tugas sebaiknya," katanya.

Tambahnya, penduduk sering bertanyakan bantuan seperti e-kasih, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris), Peladang dan lain-lain.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan saringan teliti yang dibuat oleh kerajaan negeri antara sebab berlaku kelewatan pelantikan ketua kampung di negeri ini.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, beberapa kriteria perlu diperhalusi bagi setiap calon yang dinamakan oleh parti-parti di dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau menjelaskan bahawa kesemua lantikan melibatkan 828 kampung di Perak dijangka akan diselesaikan pada Julai lalu dan 390 ketua kampung yang telah selesai dilantik menerusi tiga fasa lantikan sudah memulakan tugas.