RISE KL pemangkin tingkat kadar kitar semula negara

Akmal Nasrullah Mohd Nasir mengendalikan jentera forklift pada Majlis Perasmian RISE Kuala Lumpur di Batu Caves pada Jumaat. Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Akmal Nasrullah Mohd Nasir mengendalikan jentera forklift pada Majlis Perasmian RISE Kuala Lumpur di Batu Caves pada Jumaat. Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sasaran kerajaan untuk meningkatkan kadar kitar semula negara kepada 40 peratus menjelang 2025 kini dipergiatkan dengan penubuhan Fasiliti Eko Mampan Pemerolehan Semula Sisa Kuala Lumpur (RISE KL).

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, fasiliti kitar semula itu dibangunkan Alam Flora Enviroment Solutions (AFES) iaitu syarikat di bawah naungan Malakoff Corporation Bhd (Malakoff) dan anak syarikat milik penuh Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora).

"Ketika ini kadar kitar semula negara yang direkodkan adalah sebanyak 35 peratus dan kerajaan sememangnya menyambut baik usaha menggalakkan kaedah atau konsep ekonomi kitaran.

Akmal Nasrullah menandatangani plak perasmian RISE Kuala Lumpur di Batu Caves pada Jumaat. Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Akmal Nasrullah menandatangani plak perasmian RISE Kuala Lumpur di Batu Caves pada Jumaat. Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID



"Ekonomi kitaran ini secara bahasa mudahnya untuk kita pastikan sumber yang kita pakai itu dapat digunakan semula dan bukan hanya dibuang di tapak pelupusan sampah.

"Jadi proses itu akan membolehkan pelbagai kegiatan ekonomi diwujudkan kerana kita ada hala tuju melalui ekonomi yang boleh perbaharui," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan RISE KL di Batu Caves di sini pada Jumaat.

Dengan kapasiti menguruskan sebanyak 50 tan sisa setiap hari, RISE KL juga dibangunkan untuk memberi pengetahuan komprehensif dan amalan terbaik kitar semula serta pemisahan sisa untuk menangani peningkatan pembuangan sampah di ibu negara dan kawasan sekitarnya.

Mengulas lanjut, Akmal memberitahu, sisa yang diselamatkan di RISE KL akan menjadi satu sumber diperbaharui dan akan dimanfaatkan oleh pihak industri.

Artikel Berkaitan:

"Kadang kala hasrat kitar semula itu terbantut kerana tak tahu nak bawa ke mana sumber itu sebab tak ada pasaran atau tak ada pihak yang bersedia untuk menerimanya.

"Maka bukan sahaja penting bagaimana kita buat pemerolehan semula sisa tetapi bagaimana pihak industri bersetuju untuk mengambil hasilnya dan ini antara 'game changer' atau pengubah keadaan yang membolehkan kelangsungan untuk capai sasaran kadar kitar semula," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora merangkap Pengarah AFES, Datuk Mohd Zain Hassan menjelaskan, penubuhan RISE KL itu dapat menghidupkan semula jangka hayat sisa apabila ia diolah menjadi sumber yang diperlukan pihak industri selari dengan dasar dan hala tuju kerajaan.

"Bila kita buat fasiliti ini baharu kita faham kehendak industri dan kita belajar bahawa ada industri memerlukan bahan mentah tertentu yang diproses dari bahan kitar semula.

"Jadi ada antara sisa itu dapat diselamatkan daripada pergi ke tapak pelupusan sampah," beritahunya.

Kata Mohd Zain, dalam tempoh lima tahun akan datang, AFES diharapkan mampu menghasilkan 65 tan sisa kitar semula dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya.