Derma organ: Jururawat beri 'kehidupan' baharu kepada 5 pesakit lain

Allahyarham Sulimah mengalami kematian otak mendermakan organnya kepada lima pesakit lain di Sabah.
Allahyarham Sulimah mengalami kematian otak mendermakan organnya kepada lima pesakit lain di Sabah.
A
A
A

KOTA KINABALU - Hasrat murni seorang bekas penyelia jururawat ingin mendermakan organnya apabila meninggal dunia tercapai apabila kedua belah buah pinggang, hati dan sepasang korneanya diserahkan kepada lima pesakit lain.

Allahyarham Sulinah Gilong, 59, yang disahkan kematian otak telah mendaftar sebagai pengikrar penderma organ sejak 2015 dan pendermaannya telah mendapat persetujuan bertulis daripada warisnya.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr Asits Sanna berkata, ini merupakan pendermaan pelbagai organ dan tisu yang pertama bagi tahun ini di Sabah.

"Penderma organ dan tisu ini adalah daripada seorang penyelia jururawat yang telah berkhidmat dalam Kementerian Kesihatan (KKM) selama 34 tahun iaitu sejak 1989.

"Tempat terakhir Allahyarham bertugas ialah di Wad Perubatan Am 4 dan Wad Respiratori, Hospital Queen Elizabeth (HQE). Beliau merupakan seorang jururawat yang sangat berdedikasi dalam menjalankan tugas, disenangi rakan sekerja dan prihatin terhadap keperluan pesakit," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Asits berkata, hasrat Allahyarham untuk menjadi penderma organ selepas kematian telah disempurnakan oleh pihak hospital.

"Antara organ dan tisu yang telah didermakan termasuklah sepasang buah pinggang, hati dan sepasang kornea (mata).

"Pendermaan organ dan tisu oleh Allahyarham telah menyelamatkan nyawa tiga pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang dan hati serta memberi sinar penglihatan kepada dua pesakit lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Asits berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) merakamkan penghargaan kepada ahli keluarga yang telah menunaikan hasrat Allahyarham serta anugerah kehidupan yang diberikan.

"Salam takziah diucapkan kepada ahli keluarga di atas pemergian dan semoga keluarga arwah diberikan kekuatan untuk menghadapi kehilangannya.

"Kami mendoakan semoga segala amal ibadahnya diterima serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh," ujarnya.

Asits dalam pada itu berkata, JKNS menyeru orang ramai supaya menjadikan Allahyarham sebagai inspirasi dan teladan.

"Allahyarham merupakan seorang jururawat yang menabur khidmat bakti semasa hayatnya dan terus berbudi setelah pemergiannya," katanya.