Bangga semangat juang Malaysian Tigers buru emas Hangzhou 2022

Foto Malaysian Hockey Confederation
Foto Malaysian Hockey Confederation
A
A
A

PENGENDALI Malaysian Tigers, Arul Selvaraj, bangga dengan semangat juang tinggi pemain untuk mencipta sejarah membawa pulang emas sulung Sukan Asia bagi edisi 2022 di Hangzhou, China.

Katanya, setiap pemain Malaysian Tigers bersepakat menamatkan penantian berada di kedudukan podium pada Sukan Asia yang belum pernah dicapai negara sejak membuat penampilan pertama pada edisi 1958 di Tokyo.

"Saya bangga kerana mereka (pemain) telah bercakap secara terbuka kepada media bahawa mahu memenangi emas. Mereka percaya mereka boleh menang dan itu membuatkan saya lebih tenang.

"Apabila berborak dengan pemain tak pernah sekalipun mereka fikir tentang kelayakan Olimpik cuma cerita satu sahaja iaitu Sukan Asia (menang emas). Bagi diri saya, saya mahu membawa pasukan ke Sukan Olimpik Paris 2024," katanya selepas sesi latihan fasa akhir menjelang Sukan Asia Hangzhou 2022 pada Khamis.

Pada edisi Sukan Asia kali ini, Malaysia diundi bersama tuan rumah, China, Indonesia, Korea Selatan, Oman dan Thailand dalam Kumpulan B manakala juara bertahan, Jepun, diundi bersama India, Bangladesh, Pakistan, Singapura dan Uzbekistan bagi saingan Kumpulan A.

Malaysian Tigers akan membuka tirai kempen menentang Thailand pada 24 September diikuti Oman (26 September), Indonesia (28 September), Korea Selatan (30 September) dan mengakhiri saingan Kumpulan B berdepan China pada 2 Oktober ini.

Hanya juara dan naib juara kumpulan sahaja layak ke separuh akhir. Pemenang pingat emas pula layak secara automatik ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Mengenai saingan kumpulan di Hangzhou, Arul berkata amat penting bagi skuad negara menampilkan aksi garang pada tiga perlawanan pertama dalam usaha membina momentum terbaik untuk berdepan lawan yang lebih mencabar pada baki perlawanan seterusnya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, beliau menuntut pemain memanfaatkan sepenuhnya pukulan sudut penalti untuk menjaringkan sebanyak gol yang boleh dalam tiga perlawanan awal memandangkan kesemua mereka dijangka bermain dengan corak permainan defensif.

"Pendekatan saya ialah setiap perlawanan adalah aksi final. Di atas kertas, tiga perlawanan nampak mudah tetapi kalau tak bersedia daripada segi mental untuk menang... cabaran awal mungkin sukar," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Datuk Najmi Razak mengumumkan seramai 18 pemain masing-masing bagi skuad lelaki dan wanita bakal menggalas tanggungjawab negara di pentas temasya sukan empat tahun sekali tersebut.

Katanya, kedua-dua skuad negara masing-masing akan mempertaruhkan tujuh pemain yang berada dalam pasukan kebangsaan ketika saingan edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.

Bagi pasukan lelaki, Najmi berkata mereka terpaksa melupakan khidmat tiga pemain iaitu Mohd Fitri Saari, Muhammad Syafiq Hassan dan Muhammad Shahril Sabah susulan kecederaan.

Dalam pada itu, beliau berkata penyerang Hanis Nadiah Onn kembali dipanggil menyarung jersi kebangsaan skuad wanita selepas menjalani penggantungan awal tahun ini susulan komen berbaur perkauman di media sosial manakala dua pemain iaitu Siti Nur Irdina Mohd Nor dan penjaga go,l Nur Hazlinda Zainal Abidin bakal mengumpul caps pertama skuad senior.

Malaysian Tigress diletakkan dalam Kumpulan A bersama India, Korea Selatan, Hong Kong dan Singapura.

Pasukan bimbingan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim itu bakal berdepan Hong Kong dalam perlawanan pertama kumpulan (25 September) diikuti India (29 September), Singapura (1 Oktober) dan Korea Selatan pada 3 Oktober ini.

Malaysian Tigers Hangzhou 2022

Muhammad Hafizuddin Othman

Penjaga gol

Mohd Zaimi Mat Deris

Penjaga gol

Muhammad Razie Abd Rahim

Pertahanan

Muhammad Marhan Mohd Jalil

Pertahanan

Muhammad Najmi Farizal Jazlan

Pertahanan

Muhammad Aminuddin Mohd Zain

Pertahanan

Muhammad Amirul Hamizan Azahar

Pertahanan

Muhajir Abdu Rauf

Pertahanan

Muhamad Ramadan Rosli

Pertahanan

Faiz Helmi Jali

Tengah

Meor Muhammad Azuan Hassan

Tengah

Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi

Tengah

Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal

Tengah

Abdul Khaliq Hamirin

Tengah

Shello Silverius

Penyerang

Muhammad Firhan Ashaari

Penyerang

Faizal Saari

Penyerang

Mohamad Ashran Hamsani

Penyerang

Malaysian Tigress Hangzhou 2022

Mashitah Abdul Khalid

Penjaga gol

Nur Hazlinda Zainal Abidin

Penjaga gol

Nuraini Abdul Rashid

Pertahanan

Raja Norsharina Raja Shabuddin

Pertahanan

Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin

Pertahanan

Dayang Nuramirah Abang Mahadini

Pertahanan

Nurul Fatin Fatiah Azman

Pertahanan

Juliani Mohamad Din

Tengah

Wan Norfaiezah Saiuti

Tengah

Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad

Tengah

Nur Insyirah Effarizal

Tengah

Siti Nur Irdina Mohd Nor

Tengah

Fatin Shafika Mahd Sukri

Penyerang

Hanis Nadiah Onn

Penyerang

Nuramirah Shakirah Zulkifli

Penyerang

Siti Zulaikha Husain

Penyerang

Siti Nur Arfah Mohd Nor

Penyerang

Nur Afiqah Syahzani Anuar

Penyerang