Azizulhasni diharap kekalkan 'kayuhan emas' di Sukan Asia

Azizulhasni
Azizulhasni
A
A
A

JAGUH berbasikal negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang, yang cemerlang meraih dua gelaran Asia baru-baru ini, diharap dapat mengekalkan 'kayuhan emasnya' pada Sukan Asia Hangzhou di China bermula 23 September hingga 8 Oktober ini.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, Azizulhasni kini berada dalam prestasi terbaik untuk menjayakan misi itu selepas meraih emas berganda menerusi acara keirin dan pecut pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) 2023.

"Ini membuktikan Azizulhasni sudah cukup bersedia dan fokus untuk mengharungi dua lagi tugasan penting selepas ini - Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland pada Ogos dan Sukan Asia.

"Jadi saya berharap beliau dapat mengulangi kejayaannya pada Sukan Asia nanti, memandangkan Azizulhasni dijangka sekali lagi bersaing dengan pelumba-pelumba yang bertanding pada ACC kali ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Azizulhasni, 35, yang terkenal dengan julukan 'The Pocket Rocketman' mencipta sensasi di Velodrom Nasional, Nilai, apabila menyambar emas berganda pada ACC 2023 yang berakhir pada Isnin lepas, selain berjaya memecahkan rekod kebangsaan miliknya bagi acara pecut.

Muhammad Shah Firdaus Sahrom turut menampilkan semangat terpuji untuk menyumbang gangsa acara keirin walaupun berdepan kemalangan pada pusingan separuh akhir sehingga mengalami kecederaan, manakala Muhammad Fadhil Mohd Zonis turut beraksi cemerlang muncul juara acara 1 kilometer ujian masa individu (ITT).

Muhammad Fadhil juga beraksi cemerlang untuk mengetuai trio pecut berpasukan yang dibarisi dua pelumba muda - Muhammad Ridwan Sahrom dan Umar Hasbullah - meraih pingat gangsa acara itu.

Bagi kategori wanita, pelumba cilik berusia 19 tahun Nurul Izzah Izzati Mohd Asri meraih perak dengan memecahkan rekod kebangsaan acara 500 meter ITT.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad trek negara John Beasley, menyambut baik pembinaan velodrom berkelas dunia di Sarawak yang diharap mampu melahirkan lebih ramai pelumba trek berbakat.

"Mendapat venue berkualiti merupakan satu berita yang baik. Kita telah mempunyai satu lokasi yang menghasilkan atlet yang bagus di Johor, kali ini kita dapat yang ini, jika dapat lebih banyak (venue) di negara ini, kita benar-benar berada di landasan tepat,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pembinaan velodrom mengikut standard antarabangsa dijangka bermula tahun depan di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Kuching. - Bernama