Tampil dengan album edisi deluxe, TokTi turut ajak Awie duet

Siti Nurhaliza
Siti Nurhaliza
A
A
A

SELEPAS melancarkan album Sitism yang memuatkan lapan buah lagu pada bulan Jun lalu, penyanyi popular, Datuk Seri Siti Nurhaliza muncul dengan empat buah karya tambahan dalam album edisi deluxe.

Album deluxe Sitism dilengkapi 12 buah lagu telah mula dilancarkan di seluruh pelantar digital bermula 8 September lalu.

Menurut Siti, empat buah lagu terbaharu yang dimuatkan di dalam album Sitism bukanlah lagu bonus tetapi telah menjadi antara pilihan terbaik untuk melengkapkan 12 karya walaupun berjarak dua bulan pelancarannya.

“Ini merupakan salah satu strategi untuk memberikan peluang kepada para peminat, para pencinta muzik, stesen radio dan stesen televisyen menumpukan kepada lagu-lagu dari album Sitism yang dilancarkan pada bulan Jun dan kini dapat menyambung promosi dengan edisi deluxe pula,” ujarnya.

Tambah Siti, album Sitism adalah diri beliau yang tersendiri seiring dengan peredaran masa dan perkembangan muzik yang dipaparkan menerusi muzik, lirik, imej serta persembahan beliau.

“Judul Sitism dipilih daripada nama Siti Nurhaliza iaitu Siti dan imbuhan ism pula adalah istilah linguistik yang digunakan untuk membentuk kata nama bagi melambangkan kualiti, keadaan, ideologi atau hala tuju album.

“Apabila nama Siti dan imbuhan ism ini digabungkan, Sitism membentuk kata nama yang mewakili ciri-ciri tertentu yang ada di dalam album solo ke-20 saya,” jelasnya.

Album terbitan Universal Music Sdn Bhd dan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd itu turut dikeluarkan dalam bentuk fizikal.

Artikel Berkaitan:

Empat buah lagu terbaharu dalam edisi deluxe ini adalah Senyawa (ciptaan Farouk Roman/Senna), Kalau Berkasih (Glowrush & Tam Cobain & Mike Chan), Nadi (Mim Hamzah & Illi Diyana), Kusedari (Datuk Seri Siti Nurhaliza/Habsah Hassan).

Istimewanya dalam edisi deluxe ini, Siti telah mengundang penyanyi rock legenda, Datuk Awie untuk berduet dalam lagu bergenre tradisional moden, Kalau Berkasih.

Ini merupakan penampilan pertama Awie merakamkan lagu tradisional dan tentunya gandingan dua penyanyi ternama ini dapat mengangkat muzik tradisional kepada seluruh lapisan masyarakat.

Selain itu album Sitism memuatkan lagu Menyapa Dunia (Melly Goeslaw/Melly Goeslaw), Tanpa Diri-Mu (Luca Sickta/Luca Sickta & Siti Nurhaliza), Sehebat Matahari (Aubrey Suwito/Rozisangdewi), Ganti (Mingaling & Nuha Nik/ Amir Hasan & Nuha Nik).

Turut sama adalah lagu Romansa Kita (Sharon Paul/Rozisangdewi), Teratas (Tomok & Rudy Nastia/Fedtri Yahya), Menjaga Cintamu (Andi Rianto/Sekar Ayu Asmara) dan Magis (Mas Dewangga & Jova Devito/ Mas Dewangga & Jova Devito & Aden King).

Sitism edisi deluxe sudah boleh didengari di semua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Deezer, KKBOX dan YouTube Music.