Siti Nurhaliza perkukuh jenama menerusi Sitism

Siti Nurhaliza memilih tarikh 30 Jun lalu untuk melancarkan album terbaharu beliau yang berjudul Sitism.
Siti Nurhaliza memilih tarikh 30 Jun lalu untuk melancarkan album terbaharu beliau yang berjudul Sitism.
A
A
A

PENYANYI berkaliber, Datuk Seri Siti Nurhaliza memilih tarikh 30 Jun lalu untuk melancarkan album terbaharu beliau yang berjudul Sitism.

Album yang mengandungi lapan buah lagu itu dilancarkan secara digital terlebih dahulu sebelum kemunculan album penuh atau ‘deluxe album’ sebanyak 12 lagu di dalam format digital dan fizikal.

Mengulas mengenai pemilihan judul Sitism, Siti berkata, ia adalah menerusi gabungan namanya dan imbuhan 'ism' merujuk kepada istilah linguistik yang digunakan untuk membentuk kata nama bagi melambangkan kualiti, keadaan, ideologi atau hala tuju album.

Apabila nama Siti dan imbuhan `ism’ ini digabungkan, Sitism membentuk kata nama yang mewakili ciri-ciri tertentu yang ada di dalam album solo ke-20 beliau.

Bahkan Sitism sangat bertepatan sebagai judul album kerana selama lebih 27 tahun bergiat dalam industri muzik, beliau sudah menghidupkan jenama Siti Nurhaliza dengan ciri beliau yang tersendiri.

"Album Sitism adalah diri saya yang tersendiri seiring dengan peredaran masa dan perkembangan muzik yang dipaparkan menerusi muzik, lirik, imej serta persembahan saya," katanya.

Siti Nurhaliza
Siti Nurhaliza

Perkara itu dipersetujui penerbit dan komposer album Sitism iaitu Aubrey Suwito, yang kerap menggunakan Sitism atau Siti-ism bagi menggambarkan Siti Nurhaliza kerana menurut beliau, apabila Siti menyanyi, ciri khas, gaya, kualiti dan suara yang dimiliki penyanyi itu unik serta senang dikenali bahawa itulah Siti Nurhaliza.

Berbalik kepada album Sitism, Siti berkata, fokus utamanya adalah bagi membolehkan peminat dapat mendengar lapan buah lagu terlebih dahulu sebelum penambahan empat buah lagu lagi dalam bentuk fizikal selain digital kelak.

Setelah berjaya dengan single pertama Menjaga Cintamu yang dilancarkan pada 18 Mei 2023, menerusi album ini, Siti mempertaruhkan lagu berentak rock balada ciptaan Sharon Paul dan lirik oleh Rozisangdewi yang berjudul Romansa Kita.

Selain Romansa Kita, antara lagu lain yang terdapat di dalam album ini ialah Menyapa Dunia (Melly Goeslaw/Melly Goeslaw), Tanpa Diri-Mu (Luca Sickta/Luca Sickta & Siti Nurhaliza), Sehebat Matahari (Aubrey Suwito/Rozisangdewi), Ganti (Mingaling & Nuha Nik/ Amir Hasan & Nuha Nik), Teratas (Tomok & Rudy Nastia/Fedtri Yahya), Menjaga Cintamu (Andi Rianto/Sekar Ayu Asmara) dan Magis (Mas Dewangga & Jova Devito/ Mas Dewangga & Jova Devito & Aden King).

Album Sitism diterbitkan oleh Universal Music dan Siti Nurhaliza Productions boleh didapati di pelantar digital.

Album penuh dijangka berada di pasaran pada awal Ogos nanti.