RMK12: Tidak timbul isu Terengganu tidak ada peruntukan

Ahmad Samsuri ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Simposium Pelaksanaan Syariah Dalam Itqan Al-muluk Bita’adil As Suluk di sini pada Khamis.
Ahmad Samsuri ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Simposium Pelaksanaan Syariah Dalam Itqan Al-muluk Bita’adil As Suluk di sini pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tidak timbul isu bahawa Terengganu tidak mempunyai peruntukan berhubung usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar di Parlimen pada Isnin lepas.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan pihaknya kini sedang fokus untuk menyiapkan projek-projek dalam RMK12 mengikut jadual ditetapkan.

"Apa dibentangkan itu ialah kajian separuh penggal. Kajian separuh penggal bermakna RMK12 sedang berjalan maka di pertengahan tempoh rancangan berkenaan maka dibuat kajian tentang prasarana sedia ada.

"Sekiranya ada beberapa penambahbaikkan dan perubahan maka disebut dalam pembentangan tersebut. Bagi saya paling penting kita masih lagi mempunyai sejumlah projek yang sangat banyak dalam RMK12 di Terengganu.

"Ada pelbagai kategori... ada yang tangguh, lambat, terbengkalai pun ada selain ada juga jauh dari waktu untuk disiapkan. Jadi ini patut diberi fokus dan jangan hanya fokus perkara baharu tapi perkara lama itu tertinggal," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Simposium Pelaksanaan Syariah Dalam Itqan Al-muluk Bita’adil As Suluk di sini pada Khamis.

Justeru, Ahmad Samsuri berpandangan RMK12 sedia ada di negeri ini harus dilihat supaya dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan sekali gus menafikan berlaku isu tidak mempunyai bajet.

Pada Isnin, Anwar membentangkan KSP RMK12 bertemakan ‘Malaysia Madani: Mampan, Sejahtera, Berpendapatan Tinggi’ pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat.

Artikel Berkaitan:

KSP RMK12 dengan 17 anjakan besar sebagai pemangkin utama melalui 71 strategi dan inisiatif utama, merupakan jaminan teguh kerajaan dalam memenuhi tuntutan reformasi yang diharapkan rakyat, sekali gus memaknai semangat Malaysia Madani.

Ia bakal menjadi dokumen dasar bagi memacu dan melonjak pembangunan negara dengan mengangkat darjat serta memperkasa rakyat.

Penyediaan KSP RMK12 untuk mengukur pencapaian sasaran bagi tempoh dua tahun pertama (2021-2022) serta hala tuju 2023-2025, merangkumi kajian semula sasaran, strategi, inisiatif, program dan projek pembangunan bagi matlamat pembangunan serta pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.

KSP RMK12 memberi tumpuan kepada dua aspek iaitu penilaian dan semakan semula meliputi pencapaian, analisis jurang, cadangan penambahbaikan dan hala tuju.

RMK12, dengan peruntukan RM400 bilion yang dibentangkan pada 27 September 2021, merupakan fasa pelengkap rancangan pembangunan lima tahun negara (2021-2025) ke arah mencapai status negara maju dan inklusif.