Sepak takraw ada formula pertahan emas

Azlan sekali lagi menjadi sandaran skuad sepak takraw negara bagi memburu pingat emas pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di China. Gambar kecil: Ahmad Jais
Azlan sekali lagi menjadi sandaran skuad sepak takraw negara bagi memburu pingat emas pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di China. Gambar kecil: Ahmad Jais
A
A
A

SKUAD sepak takraw negara sedia merealisasikan sasaran satu pingat emas dan satu pingat perak pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di China yang bermula dari 23 September hingga 8 Oktober depan.

Ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun berkata, beliau kini berada dalam fasa terakhir bagi mempersiapkan barisan pemainnya dalam misi mempertahan kilauan emas acara regu pada Sukan Asia kali ini.

Malah, beliau turut senada dengan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan untuk menyambar kilauan emas acara beregu selain pingat perak berpasukan di bumi Hangzhou.

“Pada 2018 (Sukan Asia Jakarta-Palembang), kita memenangi pingat emas acara regu, jadi pada Sukan Asia di Hangzhou nanti, sebaik-baiknya kita mempertahankan pingat emas dalam acara sama.

“Bagi saya apabila kita dapat meraih pingat emas, itu adalah satu keputusan terbaik... lebih-lebih lagi dengan kehadiran Thailand dalam acara regu.

“Ini platform terbaik untuk kalahkan Thailand. Jadi saya berharap pemain-pemain dapat memberikan aksi terbaik mereka,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Isnin.

Terdahulu, Mohd Sumali mengumumkan sasaran satu emas dan satu perak di Hangzhou, sekali gus mempertahan pingat yang dimenangi skuad negara pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 di Indonesia.

Dalam pada itu, Ahmad Jais menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan barisan kejurulatihan bersikap 'pilih kasih' dalam soal pemilihan barisan pemain ke Hangzhou.

Artikel Berkaitan:

“Sukan Asia adalah pentas tertinggi, jadi kita cukup teliti dalam soal pemilihan pemain. Berbanding Sukan SEA Kemboja 2023 dan Piala Raja Thai sebelum ini, inilah senarai 12 pemain terbaik negara.

“Pada awalnya, 15 pemain dipilih mengikuti kem latihan di Thailand sebelum barisan kejurulatihan membuat keputusan memilih 12 pemain terbaik bagi menghadapi Sukan Asia.

“Dalam aspek pemilihan, 50 peratus dinilai berdasarkan prestasi, 20 peratus tahap kecergasan dan selebihnya dari segi komitmen, disiplin dan sebagainya,” jelas Ahmad Jais.

Untuk rekod, 12 pemain yang dipilih terdiri daripada empat tekong diketuai kapten, Muhammad Syahir Rosdi selain empat apit kanan dan empat apit kiri.

Tiga pemain yang terlepas tiket ke Hangzhou ialah tekong, Meor Zulfikar Mat Amin, Shahalril Aiman Halim (apit kanan) dan Muqlis Borhan (apit kiri).