Hapuskan anasir buli di sekolah dengan segera

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ISU buli dalam kalangan pelajar di sekolah sering kali menjadi topik perbincangan oleh masyarakat apabila ada video tular berkaitan kes itu dimuat naik di media sosial.

Video tular mangsa dipukul, disepak dan ditendang sekumpulan pelajar lain sekali gus mengundang kecaman serta kemarahan netizen di media sosial termasuk yang menggesa polis mengambil tindakan tegas terhadap semua pelajar terbabit.

Isu buli bukan perkara baharu, isu ini perlu ditangani dengan lebih tegas dan serius agar ia tidak berulang pada masa akan datang.

Kes buli merupakan masalah yang boleh mempengaruhi kehidupan dan prestasi akademik mangsa.

Implikasi daripada buli boleh meninggalkan kesan negatif serta merosakkan diri mangsa secara tekanan emosi, kurang keyakinan diri dan mungkin menyebabkan kes bunuh diri.

Mangsa akan menjadi pasif dan tidak ceria serta mengalami trauma serta ketakutan sepanjang masa. Mereka juga tidak berani berkomunikasi dengan rakan-rakan dan guru mereka.

Kanak-kanak atau remaja itu mungkin tidak tahu cara untuk menyalurkan emosi mereka di tempat yang betul supaya perasaan tertekan dapat diluahkan dengan baik.

Akhirnya perasaan terpendam itu meletus yang mungkin menyebabkan mangsa cepat marah atau emosi yang tidak stabil.

Artikel Berkaitan:

Pencegahan awal perlu dilakukan bagi membendung permasalahan ini antaranya dengan memperbaiki mekanisme yang sedia ada.

Antara langkah yang boleh digunakan untuk mengatasi isu buli adalah dengan memperkukuh peranan ibu bapa.

Ibu bapa hendaklah menerapkan ajaran agama, moral dan nilai murni kepada anak-anak sejak kecil serta mengamalkan sikap saling menghormati dan bertoleransi pada setiap masa.

Ibu bapa perlu sentiasa ambil tahu perkembangan anak di sekolah, selain sentiasa bekerjasama dengan pihak sekolah dalam menangani isu ini.Pihak sekolah dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu meningkatkan kerjasama dalam penganjuran kempen antibuli bagi membanteras masalah itu.

Kerjasama antara kedua-dua pihak itu berupaya membuahkan impak besar terutama membabitkan pelajar yang pernah terjebak sebagai pembuli atau menjadi mangsa buli.

Pihak sekolah juga perlu mengawasi pergerakan dan tingkah laku pelajar, selain membuat catatan berkaitan disiplin pelajar untuk di kaunseling atau maklum kepada Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) jika perlu.

PPS daripada kalangan pegawai dan anggota PDRM memainkan peranan dalam usaha mencegah perlakuan kes jenayah termasuk buli membabitkan pelajar.

Inisiatif PPS ialah kolaborasi PDRM dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan usaha memberi kesedaran mengenai pencegahan jenayah melalui pelbagai pendekatan seperti aktiviti ceramah, kempen serta pameran.

Pihak sekolah juga perlu melaporkan perbuatan buli kepada pihak berkuasa, ia bertujuan mengekang kejadian yang lebih buruk terhadap mangsa sehingga memberi kesan negatif terhadap kehidupan pelajar berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan KPM akan mengeluarkan garis panduan khusus berkaitan buli di sekolah sebagai langkah menangani kegiatan tidak sihat itu.

Menterinya, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan atau aktiviti buli kerana sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk setiap murid.

KPM sentiasa proaktif dalam menangani kes buli bagi menjamin ekosistem selamat untuk guru, murid dan seluruh warga institusi pendidikan.

Bagi menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kes buli dan gangguan seksual, KPM menyediakan tiga saluran untuk orang ramai, pihak sekolah dan ibu bapa, iaitu talian khas Aduan Buli, Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) dan juga melalui e-mel di alamat adubuli@moe.gov.my.

Menurut KPM, lebih 90 peratus kes aduan buli dan gangguan seksual di institusi pendidikan berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang daripada 15 hari.

Perbincangan tentang kesan buli juga harus dilaksanakan dari masa ke masa supaya isu ini dapat diatasi secara menyeluruh.

Advokasi secara berterusan perlu dilakukan dengan mesej menolak kekerasan serta keganasan dan bersama kita berganding bahu untuk menoktahkannya.

Perbuatan buli ini haruslah dibendung sebelum ia menjadi tidak terkawal dan sewajarnya diberi perhatian serius oleh semua lapisan masyarakat.

* Ahmad Ismadi Ismail Wartawan Meja Jenayah Sinar Harian