Video tular: Polis tahan 6 suspek bergaduh di Tampoi

Tangkap layar video kejadian pergaduhan di Tampoi.
Tangkap layar video kejadian pergaduhan di Tampoi.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Lima lelaki dan seorang wanita ditahan dipercayai terbabit dalam insiden pergaduhan di Tampoi dekat sini yang menjadi tular di Twitter pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh berkata, kejadian dipercayai berlaku pada kira-kira jam 11.40 malam pada Sabtu.

"Susulan itu, polis telah menahan lima lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia lingkungan 24 hingga 35 tahun bagi membantu siasatan.

"Kesemua suspek telah direman empat hari bermula Ahad manakala kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, polis sedang mengesan beberapa lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian pergaduhan terbabit.

"Kita telah mengenal pasti beberapa suspek lagi yang dipercayai terlibat dan kini dalam proses tindakan mengesan mereka yang masih bebas.

"Pihak polis menasihatkan masyarakat agar tidak mensensasikan isu ini sehingga memudaratkan ketenteraman awam. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes, boleh menyalurkannya kepada pegawai penyiasat Asisten Superintenden, Risman Sahid di talian 019-7766043," katanya.

Sebelum itu, tular di Twitter klip video berdurasi 28 saat memaparkan sekumpulan lelaki memukul seorang mangsa.