Speaker jelaskan keputusan tolak usul tergempar dibawa Arau, Machang

Johari - Foto Awani
Johari - Foto Awani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menegaskan, keputusan menolak usul tergempar dibawa Ahli Parlimen Machang dan Ahli Parlimen Arau dibuat berdasarkan keputusan terdahulu.

Menurutnya, keputusan sama pernah dibuat Datuk Azhar Azizan Harun yang menolak dua usul dikemukakan oleh dua Ahli Parlimen pada 2021.

“Pada 23 Julai 2021, Speaker, Datuk Azhar Azizan Harun telah menolak dua usul yang dikemukakan oleh, pertama, Beruas (Ngeh Koo Ham), kedua, Port Dickson (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk membincangkan isu tertentu.

“Semasa itu isu proklamasi darurat, tapi Speaker Azhar, saya berpandukan kepada dia, dia tidak boleh membenarkan kerana peraturan mesyuarat 11 (3).

Termaktub dengan jelas yang menentukan ialah Perdana Menteri.

“Saya mengambil ‘precedent’ itu mengatakan ini adalah sidang khas, peraturan 11 (3) yang menentukan ialah Perdana menteri.

Maka apa yang termaktub dalam syarat-syarat yang diletakkan itu,saya ikutlah,” katanya.

Tambahnya, beliau akan tetap memberi ruang kepada Datuk Seri Shahidan Kassim (PN - Arau) dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN - Machang) untuk bercakap berhubung usul tergempar dibawa mereka.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, ruang bercakap selepas pembentangan Perdana Menteri bukanlah bermakna terhad pada hari Isnin semata-mata, sebaliknya terbuka juga untuk hari lain sehingga persidangan khas selesai.

Johari menegaskan, beliau enggan isu tersebut dibangkitkan lagi selepas beliau membuat penjelasan.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat pada Selasa. - Awani