Hero rakyat Malaysia sekarang ialah YB Muar - Shahidan Kassim

Shahidan, Syed Saddiq
Shahidan, Syed Saddiq
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas gagal membentangkan usul tergempar pada Isnin, Ahli Parlimen dari blok pembangkang hari ini meluahkan rasa tidak puas hati dengan keputusan Speaker, Tan Sri Johari Abdul.

Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) yang pertama bangkit, menegaskan usul tergempar yang mereka bawa, berkaitan kes Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, perlu diberikan penjelasan.

Menurutnya, mereka meminta Peguam Negara menjelaskan keputusan pembebasan tersebut kerana ramai yang sudah 'buka mulut', membincangkan kes tersebut.

“Saya minta kerajaan meletakkan hala tuju kepada 47 kes ini (pertuduhan terhadap Ahmad Zahid), sama ada kerajaan nak tarik terus atau nak dakwa semula dan sebagainya.

“Atau kerajaan nak berpegang kepada prinsip menteri yang katakan pelantikan Peguam Negara itu dibuat oleh ‘orang kita’?

“Saya nak ucap tahniah kepada (Yang Berhormat) Muar (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman).

Hero rakyat Malaysia sekarang ialah Muar.

Ini hero rakyat Malaysia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

“Yang Berhormat Arau, saya rekodkan amaran pertama.

Duduk,” balas Timbalan Speaker Datuk Ramli Md Nor.

“Hero rakyat Malaysia ialah Muar, Syed Saddiq,” celah Shahidan lagi.

Dewan Rakyat kemudian panas apabila beberapa Ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang terus bertikam lidah berkaitan isu usul tergempar itu.

Antaranya termasuk Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) dan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang).

Pada Ahad, Syed Saddiq mengumumkan menarik diri daripada menyokong Kerajaan Perpaduan berkuat kuasa serta-merta dan menjadi pembangkang kuasa ketiga.

Katanya, antara sebab tindakan itu diambil adalah keputusan Peguam Negara yang mendorong keputusan mahkamah melepaskan tanpa membebas Ahmad Zahid daripada 47 kes pertuduhan. - Awani