PRK: Shahidan minta ahli UMNO tolak kepimpinan sokong DAP

Shahidan - Foto Bernama
Shahidan - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim meminta ahli UMNO Johor menolak kepimpinan UMNO yang kini dilihat mengkhianati perjuangan parti tersebut apabila bekerjasama dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan.

Menurut Shahidan, UMNO ketika ini bukan lagi sebuah parti yang berasaskan kepada perjuangan bangsa, tetapi lebih kepada untuk membantu kemenangan gabungan Pakatan Harapan (PH), dalam pilihan raya.

"Kita minta orang UMNO di Johor 'tolak' UMNO pusat yang sokong PH (ketika ini).

"Kita tahu, ramai ahli UMNO yang sokong Perikatan Nasional (PN) sekarang dan ada yang hadir di beberapa program ceramah yang kita adakan pada PRK kali ini.

"Tapi apakah mereka dipecat? Tak.. Sebab tak boleh, kalau pecat takut hilang undi," katanya.

Shahidan berkata demikian ketika berucap pada program Ceramah Kelompok sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai di pekarangan Pejabat Pas Pulai, Tampoi Indah pada Khamis.

Sementara itu, Shahidan berkata, sudah tiba masanya untuk pengundi di Pulai memberikan kepercayaan kepada PN untuk mentadbir selepas PRK kali ini.

Malah katanya, kajian menunjukkan tahap sokongan rakyat kepada PN juga didapati semakin baik dari sehari ke sehari.

Artikel Berkaitan:

"Saya tahu... orang UMNO, khususnya anak muda 'menggigil' tangan nak pangkah PN.

"Tapi percaya lah, dengan berbuat begitu (pangkah PN), kita boleh menang kali ini," katanya.