Warga emas rugi RM485,000 tak sampai sebulan diperdaya scammer

Mohd Yusri
Mohd Yusri
A
A
A

IPOH - Seorang warga emas di daerah Kerian kerugian RM485,000 selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai pihak polis.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, sindiket tersebut mula memperdaya mangsa berusia 72 tahun itu sejak 4 Ogos apabila dihubungi suspek melalui panggilan telefon kononnya telah diperdaya dan ditipu syarikat penghantaran.

Katanya, sindiket tersebut memaklumkan terdapat bungkusan yang tidak berjaya dihantar mengandungi kad kredit, cip kad pengenalan dan kad pengeluaran wang (ATM) milik mangsa sebelum diugut terlibat dalam kes pemerdagangan manusia dan pengubahan wang haram.

"Mangsa yang ketakutan selepas diugut akan ditangkap dan dipenjarakan telah bertindak mengikut arahan diberikan suspek dengan memindahkan kesemua wang miliknya ke akaun diberikan suspek bagi mengelak wang mangsa dirampas dan dibekukan.

"Bermula 8 Ogos hingga 6 September 2023, mangsa telah melakukan sebanyak 34 pindahan wang di mesin ATM di sekitar daerah Kerian dan Nibong Tebal, Pulau Pinang ke dalam 11 akaun milik individu," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohd Yusri berkata, mangsa hanya menyedari telah ditipu setelah anak saudaranya melawat dan curiga dengan tindakan yang dibuat ketika ingin membuat pindahan wang seterusnya kepada suspek.

Menurutnya, setelah itu mangsa menceritakan semua kejadian yang berlaku kepada keluarga selepas didesak dan terus membuat laporan polis.

Beliau berkata, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada 11 September lalu dan kerugian dialami mangsa dianggarkan berjumlah RM485,000 manakala kes masih disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Yusri menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan panggilan dari nombor yang tidak dikenali bagi mengelak terpedaya penipuan sindiket penipuan panggilan telefon.