Pinda laporan audit 1MDB: Najib, Arul Kanda bebas sepenuhnya

Najib, Arul Kanda
Najib, Arul Kanda
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kegagalan pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan berhubung keputusan mahkamah yang membebaskan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Arul Kanda Kandasamy di Mahkamah Rayuan dalam tempoh yang ditetapkan, menyebabkan mereka dibebaskan sepenuhnya daripada tuduhan meminda laporan akhir audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail membatalkan dua notis rayuan pendakwaan tersebut selepas mendapati, pihak pendakwaan gagal mengikut masa yang ditetapkan untuk memfailkan notis dan dianggap luput serta terbatal.

Tarikh akhir bagi pendakwaan memfailkan petisyen rayuan ialah dalam tempoh 10 hari selepas rekod rayuan diperoleh, iaitu pada 6 Julai lalu.

Ketika membaca keputusan yang diperoleh secara sebulat suara, Hadhariah berkata, berdasarkan kronologi, mahkamah sebelum ini menetapkan tiga pengurusan kes iaitu pada 21 Julai, 28 dan 30 Ogos lalu.

Beliau berkata, perayu telah diberi arahan untuk memfailkan petisyen rayuan namun mereka gagal untuk mematuhi arahan mahkamah.

Katanya, sebarang permohonan untuk lanjutan masa, perlu dibuat sebelum tamat tempoh pemfailkan petisyen.

“Dalam kes ini tarikh akhir ialah 6 Julai lalu, namun sehingga ke hari ini, pendakwaan didapati lewat bertindak lebih dua bulan malah permohonan lanjutan tidak dibuat.



“Mengikut undang-undang (Seksyen 53(3) Akta Mahkamah Kehakiman 1964), apabila suatu petisyen rayuan gagal difailkan dalam tempoh yang ditetapkan dan tiada pemohonan lanjutan masa dibuat, maka rayuan itu dianggap luput dan terbatal.

“Oleh kerana kes ini dibawa ke panel, kami dengan ini membuat perintah bahawa kedua-dua notis rayuan dibatalkan, kita ikut undang-undang,” katanya yang bersidang bersama Hakim, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin.

Artikel Berkaitan:


Dalam prosiding ini, bekas Perdana Menteri itu diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sementara peguam, Datuk N Sivananthan bertindak bagi pihak Arul Kanda yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB.

Pendakwaan selaku perayu diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Yusaini Amer Abdul Karim.

Pada 12 Disember 2018, mengikut pertuduhan pindaan, Najib, 70, didakwa selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada dikenakan sebarang tindakan sivil atau jenayah berkaitan peranannya di dalam perjalanan operasi syarikat 1MDB.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa mengarahkan Laporan Pengauditan 1MDB yang dimuktamadkan oleh Ketua Audit Negara dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan semula dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) yang mana Najib secara langsung mempunyai kepentingan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam meminda laporan berkenaan bagi melindungi bekas Presiden UMNO itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Pada 3 Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) melepas dan membebaskan Najib dan Arul Kanda selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Mahkamah turut memutuskan bahawa Arul Kanda layak mendapat sijil indemniti yang menghalangnya daripada dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

Bagaimanapun, setakat 30 Ogos lalu, pihak pendakwaan dilaporkan belum memfailkan petisyen rayuan berhubung keputusan berkenaan.

Kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan notis rayuan yang difailkan sebelum ini dibatalkan dan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi, dikekalkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pinda laporan audit 1MDB: Najib, Arul Kanda dibebaskan

Najib, Arul Kanda arah pinda laporan akhir audit 1MDB