Najib, Arul Kanda arah pinda laporan akhir audit 1MDB

Datuk Seri Najib Tun Razak (dua, kanan) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Bernama
Datuk Seri Najib Tun Razak (dua, kanan) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak dan Arul Kanda Kandasamy telah mengarahkan supaya laporan akhir audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dipinda bagi melindungi diri mereka daripada sebarang tindakan sivil atau jenayah.

Penguasa Kanan Cawangan Siasatan SPRM Haniff Lami, 34, yang menyiasat kes pindaan laporan akhir tersebut berkata Najib menggunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu dengan mengarahkan supaya laporan itu dipinda sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 24 Feb 2016.

Saksi pendakwaan ke-16 itu berkata berdasarkan hasil siasatannya, Arul Kanda yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB pula telah bersubahat dengan Najib dalam memberi arahan untuk meminda laporan audit tersebut.

"Najib telah mengarahkan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri ketika itu iaitu Tan Sri Shukry Mohd Salleh untuk mendapatkan laporan pengauditan 1MDB dan menyerahkan salinan laporan tersebut kepada Arul Kanda untuk disemak.

"Najib kemudian mengarahkan supaya satu pertemuan dibuat di pejabatnya di Putrajaya pada 22 Februari 2016, yang turut dihadiri bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dan bekas Ketua Setiausaha Negara Allahyarham Tan Sri Ali Hamsa,” katanya.

Haniff berkata demikian semasa membacakan penyataan saksinya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustafa P. Kunyalam pada perbicaraan kes Najib dan Arul Kanda membabitkan pindaan laporan audit 1MDB.

Beliau berkata Najib telah mengarahkan Ali untuk mengadakan mesyuarat penyelarasan antara Jabatan Audit Negara (JAN) bagi membincangkan perkara yang beliau tidak berpuas hati di dalam Laporan Pengauditan 1MDB yang dikeluarkan.

"Laporan itu tidak dicetak sehingga mendapat kebenaran Najib,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Saksi itu berkata susulan arahan daripada Najib, satu mesyuarat telah diadakan oleh Ali pada 24 Feb 2016, yang turut dihadiri Arul Kanda dan hasil mesyuarat itu, empat pindaan dibuat dalam laporan audit tersebut.

"Pindaan telah dibuat terhadap dua versi penyata kewangan 1MDB yang berbeza bagi tahun 2014 dan perjanjian Country Groups Securities Thailand dengan ACME Time Limited, disusuli pindaan berkenaan isu kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low serta isu penangguhan penerbitan Islamic Medium Term Notes (IMTN).

"Laporan itu tidak dicetak sehingga mendapat kebenaran Najib,” katanya.

"Laporan Pengauditan 1MDB yang telah dibentangkan di hadapan PAC pada 4 dan 7 Mac 2016 adalah laporan yang telah dipinda, susulan arahan daripada Datuk Seri Najib.

"Hasil siasatan saya menunjukkan bahawa perkara itu dilakukan oleh tertuduh pertama (Najib) dan tertuduh kedua (Arul Kanda) untuk melindungi diri mereka daripada sebarang tindakan sivil atau jenayah berkaitan dengan perjalanan operasi 1MDB,” katanya.

Semasa disoal balas peguam Rahmat Hazlan yang mewakili Najib, saksi itu berkata Najib dan Arul Kanda masing-masing ditahan pada 10 dan 11 Disember 2018 serta dirakam keterangan sebagai suspek pada hari tangkapan mereka.

Bagaimanapun, Haniff tidak bersetuju dengan cadangan Rahmat bahawa izin untuk menuduh bekas perdana menteri itu telah dikeluarkan oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas pada 10 Dis 2018, iaitu sebelum siasatan terhadapnya dilakukan secara menyeluruh.

"Rakaman percakapan Datuk Seri Najib sebagai saksi telah diambil pada 6 Dis 2018, empat hari sebelum beliau ditangkap. Saya tidak bersetuju beliau (Najib) tidak diberikan siasatan yang lengkap dan adil dalam kes ini,” katanya.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan akhir audit 1MDB yang telah dimuktamadkan Ketua Audit Negara, sebelum laporan itu 'sekali lagi dimuktamadkan' dan dibentang di hadapan PAC bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadap beliau.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016, mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 18 Ogos ini. - Bernama