Operasi Starlink tak ganggu perkhidmatan telekomunikasi sedia ada

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM – Penyedia internet jalur lebar berkelajuan tinggi dan pendaman rendah yang dikendalikan oleh syarikat aeroangkasa milik Elon Musk di negara ini tidak memberi gangguan terhadap perkhidmatan telekomunikasi sedia ada.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi Starlink di Malaysia adalah selaras dengan kerangka antarabangsa.

Menurut MCMC, sehingga kini, pihaknya tidak menerima sebarang aduan mengenai gangguan Starlink terhadap perkhidmatan telekomunikasi sedia ada.

“MCMC berpandukan kepada kerangka yang disediakan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), khususnya Peraturan Radio ITU ketika membuat keputusan berkaitan peruntukan dan pengurusan gangguan spektrum.

“Perkhidmatan satelit adalah secara asasnya global, dan Peraturan Radio ITU menyediakan kerangka global untuk menyelaraskan dan mengawal perkhidmatan ini,” katanya pada Isnin.

Tambahnya, ia dengan jelas menggariskan kriteria perlindungan termasuk kewajipan untuk mencegah gangguan berbahaya kepada perkhidmatan sedia ada dan prosedur untuk menyelesaikan pertikaian gangguan, jika ada.

Mengulas lanjut, MCMC berkata, Starlink telah diberi status Malaysia Digital yang membenarkannya beroperasi di Malaysia dengan status pemilikan semasa.

Jelas MCMC, keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian dan manfaat yang akan diberikan oleh Starlink.

Artikel Berkaitan:

“Sebelum mengeluarkan lesen tersebut, pihaknya telah mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan untuk memastikan pertimbangan mereka diambil kira.

“MCMC kekal komited dalam melindungi kepentingan orang awam dan memastikan semua perkhidmatan telekomunikasi, termasuk yang disediakan oleh Starlink, beroperasi dengan mematuhi standard dan peraturan,” ujar kenyataan itu.

Pada 15 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bercadang menggunakan 40 peranti satelit Starlink di institusi pengajian tinggi untuk menaik taraf kemudahan capaian Internet supaya lebih meluas dan pantas di kampus bagi memudahkan proses pembelajaran.