Empat sekeluarga cemas harimau kumbang muncul depan rumah

Harimau kumbang itu dipercayai datang dari arah kebun dan hutan berhampiran.
Harimau kumbang itu dipercayai datang dari arah kebun dan hutan berhampiran.
A
A
A

KUALA PILAH - Sebuah keluarga berdepan detik cemas apabila seekor harimau kumbang muncul di hadapan kediamannya di Kampung Ulu Beting dekat sini Selasa lalu.

Kejadian kira-kira jam 11 malam itu berlaku semasa Rusmazaiti Kamarulzaman, 31, bersama suami, Abdul Mizan Mohd Haris, 42, terdengar bunyi anak anjingnya mengerang kesakitan sebelum melihat ke luar rumah.

Rusmazaiti berkata, dia terkejut apabila melihat seekor harimau berwarna hitam sedang menarik seekor anak anjingnya dengan jarak lebih kurang lima meter daripada pintu rumahnya.

"Seekor lagi anak anjing kami dilihat berada di tepi rumah dengan kesan gigitan pada lehernya.

"Kami baling mercun pun harimau kumbang berkenaan tidak lari sebaliknya terus menggonggong anak anjing kami menghala ke arah kebun dan hutan berhampiran," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Rusmazaiti melihat perangkap yang diletakkan berhampiran rumahnya.
Rusmazaiti melihat perangkap yang diletakkan berhampiran rumahnya.

Menurutnya, dia segera menghubungi talian 999 sebelum Angkatan Pertahanan Awam (APM) Malaysia dan polis tiba di rumahnya pada awal pagi.

"Pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan juga telah memasang perangkap dan kakitangannya hadir membuat pantauan di sini secara berkala," katanya.

Artikel Berkaitan:

Rusmazaiti berkata, dia mempunyai empat ekor anjing bagi menjaga kebunnya, bagaimanapun seekor anjing dewasa didapati hilang tanpa jejak sejak sebulan lalu manakala seekor lagi hilang empat hari sebelum kejadian terbaharu itu.

"Sekarang kami faham, kehilangan dua ekor anjing kami sebelum ini adalah angkara harimau kumbang.

"Harimau berkenaan juga pernah muncul berhampiran rumah lebih kurang jam 8 malam bulan lalu, tetapi selepas dibaling mercun ia lari, namun berbeza pula kali ini," ujarnya.

Perangkap berkenaan di padang berhampiran rumahnya di Kampung Ulu Beting, Kuala Pilah.
Perangkap berkenaan di padang berhampiran rumahnya di Kampung Ulu Beting, Kuala Pilah.

Justeru, dia berharap harimau kumbang itu segera ditangkap berikutan bimbang akan keselamatan keluarganya terutamanya mempunyai anak-anak yang masih kecil berusia tujuh dan sembilan tahun.