Pameran seni amal kanak-kanak KLCAH cipta rekod Malaysia

Malaysia Book of Records juga telah mengiktiraf acara itu sebagai menerima jumlah bilangan penderma terbanyak dalam pameran seni amal bagi kanak-kanak.
Malaysia Book of Records juga telah mengiktiraf acara itu sebagai menerima jumlah bilangan penderma terbanyak dalam pameran seni amal bagi kanak-kanak.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bahagian Wanita Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur (KLCAH) berjaya mengumpul dana berjumlah lebih RM170,000 sempena perasmian Pameran Seni Amal Impian 2023 di Pavilion Bukit Jalil.

Pameran dengan kerjasama Artivo Creative Academy itu bertujuan untuk mengumpul dana bagi 15 rumah anak yatim dan kanak-kanak Orang Asli di Perak untuk menyokong kos hidup dan pendidikan mereka.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim berkata, Malaysia Book of Records juga telah mengiktiraf acara itu sebagai menerima jumlah bilangan penderma terbanyak dalam pameran seni amal bagi kanak-kanak.

"Pameran Seni Amal Impian 2023 berjaya mengumpul lebih dari RM170,000, dan ia adalah satu pencapaian yang mengagumkan," katanya ketika merasmikan acara perasmiannya di Pavilion Bukit Jalil.

Beliau menambah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur turut menerima sijil daripada Malaysia Book of Records kerana menerima bilangan penderma terbanyak iaitu 4,280 penderma dalam satu acara amal.

Sementara itu, Presiden KLCAH, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan merakamkan penghargaannya kepada semua individu atas sumbangan dan Bahagian Wanita KLCAH dalam menganjurkan pameran yang penuh bermakna.

Jawatankuasa KLCAH yang diketuai Kee Kan (enam kiri) bergambar bersama Teresa (lapan kanan)
Jawatankuasa KLCAH yang diketuai Kee Kan (enam kiri) bergambar bersama Teresa (lapan kanan)

Dalam pada itu, beliau ketika berucap turut mengulas mengenai kebimbangan tentang penyesuaian harga beras import oleh Syarikat Beras Nasional (Bernas) yang telah menyebabkan kenaikan sebanyak 36 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, saya menyeru kerajaan untuk mencari cara untuk membantu rakyat menghadapi kenaikan kos sara hidup, termasuk mengatasi monopoli oleh syarikat besar, bagi mengelakkan bebanan tambahan kepada rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Penganjur Pameran Seni Amal Impian 2023 dan CEO Artivo Creative Academy, Datin Ainsley Tiew Lee Sin pula berkata, acara itu bukan sahaja pameran seni biasa tetapi juga mewakili misi berkongsi kasih dan kehangatan.

“Apa yang benar-benar menyentuh hati tentang acara ini adalah kami sedang melaksanakan misi 'kanak-kanak membantu kanak-kanak' bersama-sama.

"Setakat ini, lebih daripada 4,280 individu yang bermurah hati telah menderma sehingga ia berjaya memecahkan rekod di Malaysia,” kata beliau.

Terdahulu, sejumlah 600 hasil seni dicipta kanak-kanak berusia tiga hingga 20 tahun yang mengungkapkan imaginasi dan kreativiti mereka dengan membayangkan masa depan kehidupan manusia, seni bina, dan persekitaran bersama makhluk angkasa luar.

Pameran Seni Amal Impian 2023, bertemakan "Dunia Masa Depan," akan dipamerkan di Pavilion Bukit Jalil (Zon Orange) bermula dari 8 September hingga 14 September dari jam 10 pagi hingga 10 malam pada setiap hari.