Mendapan tanah LPT1: Laluan kontra diaktifkan sejak Ahad

Mendapan tanah yang mengakibatkan rekahan jalan di kilometer (KM) 118.2 hingga KM117.8 arah barat di Temerloh pada Ahad. Gambar kanan: Pejabat Wilayah Timur LLM, syarikat konsesi, perunding dan kontraktor juga telah diarahkan untuk berada di tapak selama 24 jam bagi memantau keadaan.
Mendapan tanah yang mengakibatkan rekahan jalan di kilometer (KM) 118.2 hingga KM117.8 arah barat di Temerloh pada Ahad. Gambar kanan: Pejabat Wilayah Timur LLM, syarikat konsesi, perunding dan kontraktor juga telah diarahkan untuk berada di tapak selama 24 jam bagi memantau keadaan.
A
A
A

TEMERLOH - Punca berlaku mendapan tanah yang mengakibatkan rekahan jalan di Kilometer (KM) 118.2 hingga KM117.8 arah barat, di sini disebabkan runtuhan cerun tambak di kawasan kerja-kerja tebatan banjir.

Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Sazali Harun berkata, pihak syarikat konsesi juga memaklumkan hujan lebat telah berlaku sejak tiga hari kebelakangan ini.

Menurutnya, jurutera LLM bergegas ke lokasi dan melaksanakan tinjauan tapak bersama pihak Anih Berhad dan kontraktor selepas mendapat makluman berhubung kejadian kegagalan tambakan Projek Tebatan Banjir Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1).

"Tinjauan tapak ini turut disertai oleh Pengarah dan jurutera dari Pejabat Wilayah Timur LLM.

"Hasil tinjauan mendapati terdapat rekahan di permukaan jalan di antara KM118.2 ke KM117.8 melibatkan lorong kecemasan dan sebahagian lorong perlahan," kata beliau dalam kenyataan pada Isnin.

Ujar Sazali, bagi memastikan keselamatan pengguna lebuh raya dan kelancaran aliran trafik, pihak LLM dan Anih Berhad mengambil pendekatan untuk menutup keseluruhan lorong arah barat dan mengaktifkan laluan kontra pada jam 4.15 petang Ahad.

Jelas beliau, sebagai langkah jangka pendek, pihak syarikat konsesi turut mengarahkan pihak kontraktor untuk menutup kawasan rekahan dengan kanvas bagi mengawal hakisan.

"Penanda enapan akan dipasang bagi memantau pergerakan tanah dan aktiviti penyiasatan tanah secara komprehensif akan dilaksanakan segera.

Artikel Berkaitan:

"Pejabat Wilayah Timur LLM, syarikat konsesi, perunding dan kontraktor juga telah diarahkan untuk berada di tapak selama 24 jam bagi memantau keadaan," tambah Sazali.

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu, laporan awalan berhubung kejadian terbabit telah dikemukakan kepada Menteri Kerja Raya dan laporan penuh sedang disediakan.

"Laluan ini masih boleh dilalui oleh semua kenderaan dan pengguna diminta untuk berhati-hati serta mematuhi papan tanda lalu lintas.

"Bagaimanapun, sekiranya tiada keperluan mendesak, pengguna dinasihatkan untuk mengelakkan laluan ini bagi mengelakkan kesesakan," ujar beliau.