Tanam 1,000 anak pokok bantu pulihara kawasan bakau Sungai Merbok

Peserta yang menyertai program penanaman 1,000 anak pokok bakau di Sungai Merbok.
Peserta yang menyertai program penanaman 1,000 anak pokok bakau di Sungai Merbok.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seramai 100 orang kakitangan Hospital Pantai Sungai Petani dan IHH Healthcare Malaysia dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Kedah menanam 1,000 anak pokok bakau bagi memulihara kelestarian alam sekitar serta mengelak berlakunya hakisan laut.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai Sungai Petani, Tio Bee Chan berkata, ini merupakan program kelestarian alam dan tanggungjawab sosial dalam memastikan ekosistem alam semula jadi terpelihara disamping dapat mengurangkan proses hakisan.

"Terutamanya dalam menghadapi perubahan iklim ketika ini serta memulihara serta meningkatkan biodiversiti ekosistem marin Sungai Merbok," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, melalui program itu sebanyak 1,000 anak pokok bakau telah ditanam di sekitar pinggiran laut Sungai Merbok untuk dijadikan zon penampan daripada hakisan laut yang disebabkan hentaman ombak.

“Selain mengekalkan kawasan hutan simpan kekal sebagai sumber penting dalam ekosistem paya bakau, penanaman ini turut membantu sebagai zon penampan ombak serta meningkatkan jumlah pokok paya bakau di kawasan ini," katanya.

Ujarnya, program yang dilaksanakan itu juga adalah kesinambungan kepada program kelestarian hospital yang telah dilaksanakan melalui penghentian penggunaan plastik, penjimatan tenaga sistem penyejuk yang tidak efisien dan penggunaan sistem e-waste.

“Di seluruh rangkaian hospital IHH Healthcare Malaysia, setakat ini kami telah menanam hampir 2,000 pokok bakau. Di Hospital Pantai Sungai Petani sahaja kami telah menanam hampir 1,000 pokok bakau,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Sivikultur, Jabatan Perhutanan Negeri, Rahijan Rahim, berkata program penanaman anak pokok bakau ini merupakan kerjasama kali kedua bersama kakitangan Hospital Pantai Sungai Petani.

Artikel Berkaitan:

"Inisiatif ini perlu dijadikan contoh oleh organisasi swasta yang lain bagi memelihara ekosistem dan kelestarian alam sekitar serta selari dengan seruan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli yang menyasarkan 20 juta pokok akan ditanam di seluruh negara menerusi Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025 pada setiap tahun," katanya.

Tambahnya, Hospital Pantai Sungai Petani merupakan salah satu organisasi swasta yang aktif dalam menjalankan program-program tanggungjawab sosial di Kedah.