'Tuah karya satu malam'

Karya doodle berjudul 'refleksi dua dunia' yang dihasilkan Mohd Akmal Abd Kadir, dinobatkan sebagai pemenang utama pertandingan #DoodleSomethingNice. Gambar kecil: Mohd Akmal
Karya doodle berjudul 'refleksi dua dunia' yang dihasilkan Mohd Akmal Abd Kadir, dinobatkan sebagai pemenang utama pertandingan #DoodleSomethingNice. Gambar kecil: Mohd Akmal
A
A
A

SHAH ALAM - Karya doodle berjudul 'refleksi dua dunia' yang dihasilkan pensyarah Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), Mohd Akmal Abd Kadir dinobatkan sebagai pemenang utama pertandingan #DoodleSomethingNice anjuran Rasuah Busters dengan kerjasama Zubedy Sdn Bhd dan Persatuan Animasi Malaysia.

Mohd Akmal yang juga pensyarah landskap dan alam sekitar ketika berkongsi dengan Sinar Harian berkata, karyanya diilhamkan menerusi gerakan reformasi moral untuk menghapuskan budaya memberi dan menerima rasuah yang digerakan oleh Rasuah Busters.

Jelasnya, dia sangat terharu dan gembira setelah diumumkan sebagai pemenang, apatah lagi sebelum ini dia jarang memenangi pertandingan doodle.

"Doodle ini berjudul 'refleksi dua dunia' ia boleh dipusingkan 360 darjah, bagi membawa maksud rasuah itu pilihan yang tidak membawa sebarang kebaikan, negara yang harmoni akan menjadi kucar kacir akibat rasuah.

"Begitu juga sekiranya rasuah ditolak, negara akan menjadi aman dan membangun, pilihan ditangan kita rakyat Malaysia," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Muhammad Firdaus (dua dari kiri) menerima hadiah daripada Nurhayati sambil diiringi Ketua Komersial Mahsuri Dagang, Mohd Jazri Ikmal Hijaz (kiri), Anas Zubedy (dua dari kanan) Editor Eksekutif Gaya Hidup dan Hiburan Sinar Harian, Meen Tahrin (kanan).
Muhammad Firdaus (dua dari kiri) menerima hadiah daripada Nurhayati sambil diiringi Ketua Komersial Mahsuri Dagang, Mohd Jazri Ikmal Hijaz (kiri), Anas Zubedy (dua dari kanan) Editor Eksekutif Gaya Hidup dan Hiburan Sinar Harian, Meen Tahrin (kanan).

Beliau diwakili yang Muhammad Firdaus Omar bagi menerima hadiah sebagai pemenang utama dengan menerima wang tunai RM500, tiket penerbangan domestik pergi dan balik daripada AirAsia, hamper beserta sijil penyertaan.

Seramai 20 peserta menyertai pertandingan di mana sembilan karya doodle terbaik lain turut menerima hadiah istimewa daripada penganjur.

Artikel Berkaitan:

Sembilan pemenang lain menerima wang tunai RM200 serta tiket penerbangan domestik pergi dan balik daripada AirAsia.

Selain itu, kesemua peserta menerima sijil penyertaan dan cenderhati sumbangan Tourism Selangor, Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI), Mahsuri Dagang Sdn Bhd dan syarikat faiza Sdn Bhd.

Dalam pada itu, Mohd Akmal berkata, dia bertuah kerana memperoleh rezeki yang tidak disangka-sangka kerana karya yang dihasilkannya itu mengambil masa yang singkat untuk dihasilkan.

"Jujur saya hanya menyiapkan dalam tempoh lima jam, bermula jam 11 malam hingga 4 pagi sebelum hari penyerahan karya kerana bebanan tugas yang lain," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, pertandingan itu merupakan salah satu platform yang efisien untuk mengekspresikan sifat bencikan rasuah melalui lukisan.

Tambah Nurhayati lagi, pencegahan rasuah bukan hanya perlu dilaksanakan melalui ceramah, kempen atau penulisan semata-mata, namun ia harus disebar luas mengikut kesesuaian generasi masa kini.

“Rata-rata peserta yang menyertai adalah daripada golongan muda. Ini menunjukkan pertandingan ini berjaya menarik mereka untuk bersama-sama membanteras budaya rasuah yang semakin membarah.

“Saya turut berharap acara seperti ini diketengahkan lagi ke peringkat yang lebih tinggi pada masa akan datang dengan penyertaan peserta dari setiap lapisan masyarakat yang lebih ramai,” ujarnya.

Para peserta dan penganjur merakamkan gambar bersama selepas usai acara penyampaian hadiah pertandingan. Gambar kecil: Amir Hamzah
Para peserta dan penganjur merakamkan gambar bersama selepas usai acara penyampaian hadiah pertandingan. Gambar kecil: Amir Hamzah

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Animasi Malaysia (Animas), Amir Hamzah Hashim berkata, kerjasama antara pihaknya dan Rasuah Busters akan diteruskan dalam membawa mesej antirasuah kepada masyarakat.

"Rasuah Busters dan Animas akan menggunakan kaedah tersendiri (masing-masing), kalau di pihak kami, kita gunakan dalam bentuk lukisan untuk lebih mudah diterima dan santai.

"Kami galakan kepada semua pelukis di luar untuk turut bersama dengan Rasuah Busters dalam menyampaikan maklumat secara bijaksana, dan kita harap dapat lakukan lebih banyak kerjasama di masa mendatang dalam hasrat menjadikan negara bebas rasuah," katanya.