Pulau Tenggol jadi tumpuan penyelam

Tengku Farok Hussin (tiga dari kanan) ketika program Tenggol Beach and Underwater Clean Up di Pulau Tenggol
Tengku Farok Hussin (tiga dari kanan) ketika program Tenggol Beach and Underwater Clean Up di Pulau Tenggol
A
A
A

DUNGUN - Pulau Tenggol yang terletak di daerah ini menjadi tumpuan penyelam dari dalam dan luar negara kerana keindahan pelbagai spesies terumbu karang yang terdapat di pulau berkenaan.

Pulau Tenggol berkeluasan 232 hektar itu kaya dengan pelbagai khazanah alam dan tumbuh-tumbuhan selain dianggap 'syurga' bagi penggemar aktiviti menyelam skuba (scuba diving).

Lebih menarik, orang ramai boleh menyaksikan sendiri pelbagai hidupan laut di pulau berkenaan antaranya rumpai laut, 'batfish', penyu, 'clownfish' dan jerung paus.

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abd Jalil, pulau berkenaan yang diwartakan sebagai Taman Negeri di kawasan daratan sahaja itu sebagai langkah mengekalkan warisan alam semula jadi yang ada di pulau berkenaan.

Pengunjung sedang menaiki bot untuk melalukan aktiviti selaman di sekitar Pulau Tenggol
Pengunjung sedang menaiki bot untuk melalukan aktiviti selaman di sekitar Pulau Tenggol

"Keistimewaan Pulau Tenggol ini lebih pada kepelbagaian untuk melihat batu karang di sekeliling pulau berkenaan. Kebanyakan pelancong kunjungi pulau itu merupakan penyelam yang datang secara berkumpulan untuk bersantai.

"Fasiliti di sini agak terhad sebab kawasan pantai hanya sedikit dan lebih kepada aktiviti menyelam. Disebabkan itu, saya fikirkan buat kajian semula untuk melihat dari segi mewartakan terus kawasan perairan pulau berkenaan supaya dapat memelihara terumbu karang yang ada di sini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Tenggol Beach and Underwater Clean Up di sini pada petang Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Tengku Farok Hussin berkata, terdapat 19 lokasi penting terumbu karang yang indah berada di sekitar pulau berkenaan.

"Pulau ini khusus untuk penyelam. Boleh dikatakan Pulau Tenggol ialah seperti Pulau Sipadan nombor dua kerana begitu cantiknya terumbu karang dan kepelbagaian hidupan laut di sini.

Pulau Tenggol yang terletak di Dungun menjadi tumpuan penyelam dari dalam dan luar negara
Pulau Tenggol yang terletak di Dungun menjadi tumpuan penyelam dari dalam dan luar negara

"Orang ramai terutama dari seluruh negara boleh datang melakukan aktiviti selaman dan snorkeling namun perlu jaga sama-sama terumbu karang yang ada supaya tetap dipelihara dengan baik," ujarnya.

Sementara itu, seorang pengunjung dari Kuala Lumpur, Norasnida Osmarani, 36, berkata, dia sudah berkunjung ke Pulau Tenggol buat kali kedua kerana terpesona dengan keindahan hidupan laut dan alam semula jadi di pulau berkenaan.

"Saya suka melakukan aktiviti selaman skuba dan dapati pulau ini mempunyai keindahan tersendiri termasuk terumbu karang dan spesies ikan yang dijumpai terutama jerung paus.

"Tak perlu pergi jauh sehingga ke Sabah mahupun di luar negara kerana di sini sudah ada lokasi menarik ataupun 'hidden gem' bagi pengemar aktiviti selaman skuba bagi melihat keindahan hidupan dan tumbuhan di bawah dasar laut," ujarnya.