Warga emas maut tergelincir ketika memancing

Anggota bomba membawa keluar mayat mangsa yang ditemui di celahan batu selepas dipercayai terjatuh ketika memancing di pantai Teluk Batik, semalam. -Foto Ihsan Bomba
Anggota bomba membawa keluar mayat mangsa yang ditemui di celahan batu selepas dipercayai terjatuh ketika memancing di pantai Teluk Batik, semalam. -Foto Ihsan Bomba
A
A
A

LUMUT - Seorang lelaki warga emas maut selepas dipercayai terjatuh ketika memancing di tebing bukit setinggi enam meter di di pantai Teluk Batik, di sini, semalam.

Mangsa Ching Bong Bai, 73, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum disahkan maut oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung, Ismadi Darusman berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.15 petang memaklumkan terdapat seorang lelaki hilang di kawasan pantai berkenaan.

"Operasi mencari segera dijalankan dan anggota bomba menemui topi mangsa di bahagian atas laluan berbatu yang dilalui mangsa untuk memancing.

"Mangsa berjaya ditemui anggota di celahan batu bersama peralatan memancingnya pada jam 7.52 malam," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurut Ismadi lagi, mangsa dipercayai terjatuh dari ketinggian kira-kira enam meter ketika melalui laluan berbatu sebelum terjatuh.

"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya jam 9.50 malam," katanya.

Artikel Berkaitan: