Sidang khas Dewan Rakyat bentang kajian separuh penggal RMK-12

Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang bersidang enam hari bermula Isnin ini bakal tertumpu kepada pembentangan KSP RMK-12.
Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang bersidang enam hari bermula Isnin ini bakal tertumpu kepada pembentangan KSP RMK-12.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang bersidang enam hari bermula Isnin ini bakal tertumpu kepada pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK-12) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KSP RMK-12 itu disediakan bagi mengukur pencapaian pada 2021-2022, serta hala tuju 2023-2025 ke arah mencapai negara mampan, sejahtera dan berpendapatan tinggi dengan mengambil kira cabaran domestik dan trend global semasa.

Menurut takwim di laman rasmi Parlimen, pembentangan KSP RMK-12 yang dijadual bermula 10 pagi akan diteruskan dengan sesi perbahasan oleh Ahli Parlimen bermula Selasa, sebelum jawapan oleh kementerian berkaitan pada 18 dan 19 September.

Dewan Rakyat sebelum ini bersidang pada 22 Mei hingga 15 Jun sebelum ditangguhkan.

Pada 19 Jun lepas, Mesyuarat Khas Perdana Menteri bersama Ahli Jemaah Menteri dan Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian mengenai KSP RMK-12 bersetuju supaya semua pihak bergerak sebagai satu pasukan ke arah mempercepatkan pelaksanaan reformasi dan inisiatif ekonomi yang dirancang.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam perkongsian di Facebook beliau menyatakan mesyuarat khas itu untuk membincangkan hala tuju baharu dalam KSP RMK-12 bagi memastikan ekonomi negara kekal kukuh dan berada di landasan yang tepat ke arah mencapai agenda Malaysia Madani.

Memetik kenyataan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, KSP RMK-12 perlu dinilai seratus peratus kerana tanggapan atau perancangan yang dibuat sebelum Covid-19 sudah tidak boleh dipakai lagi.

Selain menyifatkan pembentangan KSP RMK-12 di Parlimen sebagai ‘unik’, beliau berkata kajian berkenaan adalah sebagai rancangan baharu untuk negara.

Artikel Berkaitan:

KSP RMK-12 memberi tumpuan kepada dua aspek iaitu penilaian dan semakan semula meliputi pencapaian, analisis jurang, cadangan penambahbaikan dan hala tuju.

Aspek kedua pula menekankan kepada kecekapan pelaksanaan program dan projek pembangunan, dengan mengambil iktibar daripada pengalaman pelaksanaan projek pembangunan pada 2021 dan 2022.

Pada 27 September 2021, Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentangkan RMK-12 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia - Makmur, Inklusif, Mampan’, dengan peruntukan RM400 bilion untuk membiayai projek sambungan dan projek baharu di bawah pelan itu. - Bernama