Beri masa Kerajaan Perpaduan laksana reformasi dalam negara

Lih Kang melawat pameran InnoExpo semasa hadir pada Majlis Penutup Cyberview Innoex 2023 pada Sabtu. - Foto Bernama
Lih Kang melawat pameran InnoExpo semasa hadir pada Majlis Penutup Cyberview Innoex 2023 pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

CYBERJAYA - Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang meminta semua pihak memberi masa kepada Kerajaan Perpaduan untuk melaksanakan reformasi dalam pentadbiran negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata, adalah terlalu awal untuk menyatakan reformasi yang dibawa oleh Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan telah mati.

"Kerajaan ini masih muda, jadi ada yang belum dilaksanakan... beri masa dulu, lepas tamat satu penggal baru boleh menilai, saya rasa pramatang untuk menyatakan reformasi dah mati,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup InnoEx 2023 di sini pada Sabtu.

Lih Kang berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Ahmad Fadhli Shaari yang menyifatkan reformasi diperjuang PH selama ini sudah tiada susulan keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin lepas.

Keputusan DNAA Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana milik Yayasan Akalbudi dibuat selepas Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar yang memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin menghentikan semua prosiding terhadap Presiden UMNO itu pada peringkat ini.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak memberi sebarang arahan kepada Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun berhubung kes itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: