'Lambang, bendera parti masih digantung milik individu'

Hilmi (tengah) menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada pengunjung program Sambutan Wellness Month Peringkat Negeri Kelantan 2023 pada Sabtu.
Hilmi (tengah) menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada pengunjung program Sambutan Wellness Month Peringkat Negeri Kelantan 2023 pada Sabtu.
A
A
A

PASIR MAS - Lambang dan bendera parti yang masih digantung di sekitar bandar ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan lalu merupakan hak individu dan bukan jentera parti.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, kesemua jentera parti di negeri ini mengikut undang-undang yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu menurunkan semua bendera dan bahan kempen dalam tempoh 14 hari selepas pengisytiharan keputusan PRN.

Menurut beliau, setakat ini tiada laporan diterima mengenai kegagalan parti bertanding membersihkan bendera mereka.

"Bendera yang ada di sekitar bandar ini merupakan hak individu dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah membersihkan sebahagian daripadanya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Sambutan Wellness Month Peringkat Negeri Kelantan 2023 pada Sabtu.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin.

Hilmi memberitahu, setakat ini sudah banyak kawasan dibersihkan dan PBT di seluruh negeri turut membantu bagi memastikan lokasi terbabit kembali seperti biasa.

"Tidak banyak lokasi yang dipenuhi bendera dan lambang parti kerana pihak PBT masing-masing menjalankan tugas mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, dalam tempoh PRN lalu, semua parti sudah maklum dan mereka juga perlu membayar deposit RM5,000.

Dalam pada itu, Hilmi turut menasihatkan rakyat Kelantan supaya menjaga kesihatan supaya dapat mengelakkan penyakit yang serius seperti kencing manis dan darah tinggi.

Beliau berkata, kerajaan negeri menyediakan kawasan awam yang sesuai sebagai lokasi melakukan pelbagai program untuk jabatan kerajaan melaksanakan aktiviti kesihatan.

"Rakyat juga boleh beriadah dan melakukan aktiviti fizikal bersama keluarga bagi membolehkan mereka lebih sihat dan mengelakkan penyakit selain obesiti," katanya.