Asrama Yayasan Selangor Sabak Bernam juara Teka Silang Kata Bahasa Inggeris

Pemenang bergambar selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari di Kompleks Kumpulan Karangkraf.
Pemenang bergambar selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari di Kompleks Kumpulan Karangkraf.
A
A
A

SHAH ALAM - Asrama Yayasan Selangor Sabak Bernam membawa pulang dua trofi kejohanan Teka Silang Kata Bahasa Inggeris selepas menang dua kategori dipertandingkan sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari di Kompleks Kumpulan Karangkraf.

Gandingan pelajar tingkatan empat, Muhammad Umar Hazran Abdul Hamid; Mohamad Hadif Uzair dan Mohammad Aiman Izwan berjaya merangkul johan kategori tahap atas.

Sementara pasukan Muhammad Imran Hakimi Maskor, 14; Mohammad Syamir Zur Umair Saiful Bahri, 15, dan Muhammad Nabil Mat Isa, 15, menang tempat pertama kategori tahap bawah.

Pasukan juara itu masing-masing mempamerkan prestasi cemerlang dalam pertandingan tiga pusingan dengan tentangan sengit daripada 25 sekolah rendah dan menengah lain yang menyertai acara tersebut.

Walaupun peserta terdiri daripada pelajar sekolah menengah namun soalan yang disediakan ialah pengetahuan am tahap tinggi merangkumi isu dalam dan luar negara.

Pegawai Eksekutif Akademik Asrama Yayasan Selangor Sabak Bernam, Muhammad Izzat Afiq Mohamad Zam Zam berkata, pasukannya hanya berlatih sejak tiga lepas namun beliau menasihatkan mereka memanfaatkan penyertaan dengan memberikan pencapaian terbaik.

“Program sebegini membantu meningkatkan pengetahuan mereka mengenai negara dan berkongsi maklumat itu dengan pelajar lain selain memperkasakan penguasaan Bahasa Inggeris mereka.

“Soalan yang disediakan sangat bagus kerana pelajar perlu mengasah dan memperluaskan pengetahuan kerana mereka adalah pemimpin masa depan negara,” katanya kepada Sinar Daily selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Penganjuran karnival selama tiga hari dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) itu menghimpunkan 100 pempamer dan lebih 50 aktiviti disediakan kepada pengunjung sehingga Ahad ini.

Pengunjung turut berpeluang untuk berkunjung ke reruai yang disediakan untuk melihat pameran dan pelbagai aktiviti pada karnival yang diadakan serentak bersama SinarPlus Makan Fest dan Jualan Gudang Karangkraf.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Selangor, Eddie Ahmad Khodzali juga penaja pertandingan tersebut memuji semangat peserta yang dilihat gembira memberikan saingan antara satu sama lain.

“Mereka perlu peka dengan semua jenis pengetahuan terutama berkaitan isu semasa pembangunan global.

“Jika mereka tidak banyak membaca atau sentiasa ambil tahu tentang isu semasa, sudah pasti mereka sukar untuk menjawab soalan disediakan,” ujarnya.