PRK Simpang Jeram: Nazri puas hati proses undi berjalan lancar

Nazri bersama Siti Seri Azura selepas selesai membuang undi di SJK (C) Pei Chai pada Sabtu.
Nazri bersama Siti Seri Azura selepas selesai membuang undi di SJK (C) Pei Chai pada Sabtu.
A
A
A

MUAR - Calon Pakatan Harapan (PH), Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Ir Nazri Abdul Rahman, 56, berpuas hati proses perjalanan di pusat pembuangan undi SJK (C) Pei Chai pada Sabtu yang disifatkannya berjalan dengan lancar.

Malah, Nazri berkata, pihaknya juga turut gembira dengan peratusan keluar mengundi kali ini terutamanya melibatkan golongan muda.

"Saya gembira dengan kehadiran anak muda seawal jam 8 pagi di pusat mengundi ini, bagi DUN Simpang Jeram dan rasa puas hati dengan jumlah mereka yang keluar mengundi dan mudah-mudahan semakin ramai yang akan terus keluar mengundi selepas ini.

"Boleh kata, agak memberangsangkan juga kerana bukan sahaja warga emas tapi anak muda pun dah mula beratur seawal jam 8 pagi tadi dan daripada maklumat ramai anak muda keluar mengundi pagi tadi dan kini sudah pun ke tempat kerja.

"Saya rasa pada tengah hari atau petang ini, insya-ALLAH anak muda akan keluar lagi untuk mengundi,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Nazri berbaju kemeja putih tiba di pusat mengundi berkenaan pada 9.50 pagi dan membuang undi di salurkan dua turut ditemani isteri, Siti Seri Azura Ahmad, 43 yang membuang undi di saluran tiga.

Untuk rekod, seramai 40,301 pengundi berdaftar akan memilih wakil rakyat mereka pada PRK DUN Simpang Jeram pada Sabtu.

Sebanyak 14 pusat mengundi membabitkan 68 saluran di DUN Simpang Jeram, dibuka mulai 8 pagi sehingga 6 petang, bagi proses mengundi dijalankan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Nazri berkata, pihaknya mengharapkan kehadiran pengundi yang lebih positif kali ini dan situasi itu disifatkan sebagai isyarat baik kepada Kerajaan Perpaduan pada PRK kali ini.

"Kepada mereka yang belum bangun tidur, cepat-cepat bersiap untuk pergi mengundi, jangan lambat-lambat.

“Anak muda kena bangkit tunaikan tanggungjawab anda sebagai pengundi bagi memastikan legasi pentadbiran Kerajaan Perpaduan terus berjalan khususnya di Simpang Jeram, insya-ALLAH,” katanya.