Nasib pesawat tempur MRCA TUDM

SU-30MKM
SU-30MKM
A
A
A

ERA pemodenan pesawat tempur untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bermula pada 1995 apabila kerajaan membeli sejumlah 18 buah pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA) MiG-29N/NUB dari Rusia.

Pembelian pesawat itu mengejutkan dunia apabila Malaysia yang pada awalnya dilihat sering membeli pesawat-pesawat dari Amerika Syarikat dan juga blok Eropah seperti A-4PTM Skyhawk, F-5E Tiger II dan juga BAE Hawk 208/108 mula beralih kepada blok kuasa dunia yang digeruni oleh Amerika Syarikat dan juga sekutunya.

Pembelian itu dibuat selepas Malaysia dikatakan kecewa dengan tindakan Amerika Syarikat yang enggan meluluskan penjualan peluru berpandu AMRAAM kepada TUDM yang merupakan sebahagian daripada pakej pembelian pesawat Boeing F/A-18D Hornet dari Amerika Syarikat ketika itu.

Lebih mengejutkan lagi pembelian antara pesawat termoden dunia ketika itu dilakukan dengan menggunakan minyak kelapa sawit negara.

Bagaimanapun, Malaysia akhirnya bersetuju membeli lapan buah pesawat F/A-18D Hornet Amerika Syarikat pada 1997.

Malaysia sekali lagi menandatangani kontrak pembelian MRCA iaitu 18 buah pesawat Sukhoi SU-30MKM dari Rusia pada Ogos 2003 dan mula diterima secara berperingkat pada 2007.

Namun, kemelut pesawat MRCA TUDM bermula apabila mantan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penamatan perkhidmatan semua pesawat MiG-29 pada 31 Disember 2010.

Alasannya kos penyelenggaraan pesawat cukup tinggi sehingga mencecah RM260 juta setahun dan wang itu boleh menampung penyelenggaraan pesawat-pesawat lain yang masih lagi beroperasi dalam TUDM.

Artikel Berkaitan:

Malah, Ahmad Zahid juga mengumumkan Malaysia berminat untuk membeli pesawat baharu bagi menggantikan MiG-29.

Difahamkan antara yang disenarai pendek ialah Eurofighter Typhoon dan juga Dassault Aviation Rafael dari Eropah.

Pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan Malaysia masih berminat untuk memperoleh pesawat tempur MRCA tetapi bukanlah dalam tempoh terdekat kerana pesawat tempur sedia ada masih lagi berkeadaan baik.

SU-30MKM
SU-30MKM

Pemilikan

Bagi Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang pemilikan MRCA negara dijangka mengambil masa 10 tahun lagi untuk direalisasikan.

Ini kerana TUDM berhasrat untuk memperoleh 36 buah pesawat tempur ringan (LCA) terlebih dahulu bagi membolehkan TUDM mendapat teknologi dan keupayaan terkini.

Dalam temu bual beliau bersama media pada 1 Jun tahun lalu, Affendi menjelaskan pembelian LCA baharu itu bagaimanapun bergantung kepada keupayaan kewangan negara kerana kos sebanyak RM6 bilion hingga RM7 bilion perlu diperuntukkan sekiranya negara berhasrat untuk memilikinya.

Pembelian ini juga dikatakan oleh pemerhati pertahanan sebagai pengganti kepada pesawat Hawk 208/108 yang rata-ratanya sudah berusia lebih 25 tahun dalam perkhidmatan.

Malah antara pesawat yang menjadi perhatian ialah KAI T-50 Golden Eagle dari Korea Selatan dan juga Yakovlev YAK-130 dari Rusia.

Dalam pada itu, Affendi juga menjelaskan TUDM telah mewujudkan pelan induk jangka panjang iaitu Capability 2055 (CAP55) untuk perancangan realistik sehingga tahun 2055 tetapi ia bergantung kepada kedudukan kewangan serta peruntukan daripada kerajaan.

Di bawah CAP55, TUDM juga berhasrat memperoleh pelbagai aset baharu termasuk pesawat peronda maritim, pesawat tanpa pemandu, peluru berpandu serta radar.

Selepas penamatan perkhidmatan MiG-29, TUDM kini hanya memiliki 26 pesawat MRCA iaitu 18 buah SU-30MKM dan lapan buah F/A-18 D Hornet.

Kedua-dua model pesawat itu sudah berusia lebih 10 tahun dan sekiranya TUDM tidak memuktamadkan segera pembelian baharu MRCA, beberapa tahun lagi pesawat tempur moden itu mungkin tiada ada lagi dalam perkhidmatan negara.

Sekiranya kita hanya bergantung kepada pesawat LCA selepas ini, adakah kita mampu melindungi pertahanan udara negara secara holistik sekiranya berhadapan dengan ancaman yang kita sendiri tidak dapat jangka apa yang akan berlaku pada masa akan datang?