Angkasa ajak tanam dua juta pokok

Kakitangan Angkasa mempromosikan program Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari. (Gambar kecil: Abdul Fattah).
Kakitangan Angkasa mempromosikan program Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari. (Gambar kecil: Abdul Fattah).
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mengajak dua juta anggota koperasi sekolah di seluruh negara untuk menyertai Pertandingan Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok Koperasi Sekolah Peringkat Kebangsaan.

Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, ia sejajar dengan objektif penanaman pokok oleh gerakan koperasi di seluruh negara.

“Kita galakkan pihak koperasi sekolah datang ke reruai Angkasa di Karnival Pendidikan Sinar Bestari untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program ini untuk dibuat di sekolah masing-masing bagi menyahut hasrat kerajaan yang ingin melestarikan alam sekitar.

“Anggota koperasi sekolah juga boleh mendapatkan maklumat mengenai pembiayaan boleh ubah menerusi Yayasan Angkasa dan berinfaq menerusi Yayasan Infaq Angkasa” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang berlangsung selama tiga hari bermula 8 hingga 10 September ini bakal menampilkan pelbagai pertandingan dan aktiviti menarik kepada para pengunjung.

Bermula jam 9 pagi hingga 7 malam, ia terbuka kepada semua pengunjung secara percuma bagi merasai sendiri pengalaman pendidikan digital selaras dengan tema karnival iaitu Memacu Pendidikan Generasi Digital.

Mengulas lanjut, Abdul Fattah berkata, hadiah yang ditawarkan kepada pemenang adalah wang tunai bernilai RM52,800 beserta sijil peringkat kebangsaan.

Menurutnya, pertandingan tersebut terbuka kepada semua koperasi sekolah seluruh Malaysia bermula dari 15 Jun 2023 sehingga 15 Oktober 2023.

Artikel Berkaitan:

“Kita turut beri sijil pencapaian kepada pemenang Jumlah Penanaman Pokok Tertinggi Peringkat Negeri (Kategori Sekolah), Jumlah Penanaman Pokok Tertinggi Peringkat Kebangsaan (Kategori Sekolah) dan Jumlah Penanaman Pokok Tertinggi Peringkat Kebangsaan (Kategori Pelajar).

“Kita yakin dan percaya anggota koperasi sekolah mampu menyahut cabaran untuk menanam sekurang-kurangnya sebatang pokok menerusi pertandingan ini,” katanya.