NU Ideaktiv tawar peluang menang wang tunai RM300

Pelajar sekolah mencuba permainan puzzle di reruai NU Ideaktiv pada Jumaat.
Pelajar sekolah mencuba permainan puzzle di reruai NU Ideaktiv pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - NU Ideaktiv Sdn Bhd (NU Ideaktiv) menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung Karnival Pendidikan Sinar Bestari termasuk peluang membawa pulang wang tunai sebanyak RM300.

Ketua Jabatan Perniagaan Baharu, Komuniti dan Acaranya, Hakimin Zahid, 43, berkata, pemenang akan dipilih selepas berjaya menjawab soalan-soalan yang disediakan menerusi permainan ‘Who Wants To Be A Genius Star?’ pada Sabtu dan Ahad di reruai NU Ideaktiv.

Hakimin di reruai NU Ideaktiv Karnival Pendidikan Sinar Bestari pada Jumaat.
Hakimin di reruai NU Ideaktiv Karnival Pendidikan Sinar Bestari pada Jumaat.

Ujar beliau, peserta perlu melepasi pusingan awal permainan tersebut sebelum mara ke peringkat akhir yang diadakan di pentas utama Karnival Pendidikan Sinar Bestari.

“Pada Sabtu, tiga orang peserta berpeluang memenangi wang tunai RM50 setiap seorang di reruai. Begitu juga dengan Ahad tetapi ada satu ‘final’ (peringkat akhir) yang akan diadakan di pentas utama, yang mana mereka berpeluang memenangi wang tunai RM300.

“Permainan ini macam konsep ‘Who Wants To Be A Millionaire?’ sebenarnya. Jadi ia akan ada soalan-soalan peringkat rendah disebabkan sasaran pengunjung karnival kita ini lebih kepada pelajar sekolah,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Dalam pada itu, ujar Hakimin, pengunjung yang berminat menguji kreativiti masing-masing juga boleh menyertai permainan menarik yang lain seperti teka kuih, teka logo kereta, teka logo pasukan bola, ‘read mileage’ dan 'puzzle'.

“Selain daripada permainan itu, kita juga ada aktiviti bergambar di skrin hijau yang mana pengunjung boleh memilih templat disediakan untuk gambar mereka, dan skrin itu akan mengikut tema yang dipilih.

Artikel Berkaitan:

“Selepas itu reruai kita ada juga bahagian 'doodle' sempena bulan kemerdekaan, supaya pengunjung boleh menulis atau melukis mesej-mesej kemerdekaan di kawasan itu,” jelasnya.