Program 'Back to School 2019' bantu 200 murid

TNB
TNB
A
A
A

SEREMBAN - Program ‘Back to School 2019’ anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) diteruskan tahun ini dengan 200 murid lagi dari keluarga miskin sekitar Dewan Undangan Negeri (Dun) Sikamat, menerima bantuan keperluan persekolahan.

Ia merupakan salah satu daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TNB yang melibatkan murid berusia antara tujuh dan 12 tahun, yang masing-masing menerima bantuan berupa kelengkapan pakaian sekolah, beg sekolah dan alat tulis.

Pengurus Besar Perkhidmatan Pelanggan Bahagian Pembahagian TNB Negeri Sembilan, Wan Ishak Soed, berkata, pemilihan penerima adalah berdasarkan kriteria yang ditetapkan ibu pejabat TNB, iaitu golongan asnaf, dan golongan miskin tegar di bawah B40.

“Kita serahkan kepada pejabat Dun sendiri untuk mencari murid-murid dari sekolah sekitar Seremban, Dun Sikamat, Dun Labu yang amat-amat memerlukan, dalam membantu mereka memulakan sesi persekolahan tahun hadapan.

“Setiap mereka menerima kelengkapan persekolahan bernilai RM200 melibatkan jumlah keseluruhan RM40,000 yang disediakan TNB,” katanya pada program serahan bantuan kelengkapan persekolahan Back To School yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar Negeri, Ismail Ahmad di sini, hari ini.

“TNB juga akan melaksanakan program ini di Tampin dan Port Dickson dengan setiap kawasan masing-masing melibatkan 200 murid. Jumlah keseluruhan murid yang akan diberikan bantuan oleh TNB bagi seluruh Negeri Sembilan ialah 600 murid, melibatkan kos RM120,000,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: