200 murid SK Puchong Utama sertai dikir karnival pendidikan

Para pelajar SK Puchong Utama, Puchong, melakar sejarah dalam MBOR menerusi bilangan penari paling ramai dalam persembahan Irama Malaysia pada tahun lalu.
Para pelajar SK Puchong Utama, Puchong, melakar sejarah dalam MBOR menerusi bilangan penari paling ramai dalam persembahan Irama Malaysia pada tahun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Sekolah Kebangsaan (SK) Puchong Utama, Puchong, Selangor mencatatkan penyertaan tertinggi dalam dikir barat Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang akan berlangsung bermula 10 hingga 12 Mei depan.

Guru Akademik SK Puchong Utama, Azliana Ghazali berkata, sekolah terbabit pernah melakar sejarah dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) menerusi bilangan penari paling ramai dalam persembahan Irama Malaysia tahun lalu.

“Pada program yang berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur tersebut, pihak sekolah telah menghantar 200 murid untuk melakar rekod bersama-sama penyanyi popular Irama Malaysia, Noraniza Idris.

“Justeru, kita mempunyai pengalaman menghantar peserta yang ramai untuk memeriahkan Karnival Pendidikan Sinar Bestari,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Azliana yang juga merupakan Penasihat Dikir Barat SK Puchong Utama, latihan akan dilaksanakan dalam kumpulan kecil untuk mempermudahkan murid-murid mempelajari gerak tari dan lagu yang bakal dipersembahkan kelak.

Katanya, para murid akan menjalani latihan berkenaan di sekolah tiga kali seminggu sehingga tibanya tarikh Karnival Pendidikan Sinar Bestari.

“Saya juga mendapati murid-murid ini lebih meminati seni persembahan dikir barat selepas mereka menyertai sesuatu acara atau pertandingan kerana terdedah dengan aktiviti tersebut.

“Saya berharap murid-murid akan beri persembahan terbaik pada karnival pendidikan terbesar di Selangor berkenaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak sekolah akan memaklumkan kepada ibu bapa tentang penglibatan sekolah dalam karnival tersebut.

Katanya, kebenaran ibu bapa sangat penting kerana melibatkan kos pengangkutan bas dan jadual latihan ketika waktu persekolahan.

Karnival Pendidikan Sinar Bestari adalah kerjasama Kumpulan Karangkraf dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) bakal diadakan di Dataran Karangkraf, Seksyen 15 di sini selama tiga hari bermula 10 Mei ini.

Karnival berkenaan menawarkan pelbagai pameran bertemakan digital, skil dan kerjaya kepada pengunjung.

Ia turut dimeriahkan dengan pelbagai pertandingan termasuk pidato, tarian (sekolah), pancaragam, e-sukan, koir, Sinar Bestari Got Talent dan kawad kaki.