'Dia ikat kaki tangan, serkup muka kita lepas itu ajak bertumbuk' - Che’gu Bard

Che'gu Bard dalam Ceramah Kelompok Perikatan Nasional di Kampung Ulu, Bakri, Muar pada malam Rabu.
Che'gu Bard dalam Ceramah Kelompok Perikatan Nasional di Kampung Ulu, Bakri, Muar pada malam Rabu.
A
A
A

MUAR - Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram disifatkan sebagai paling teruk dalam sejarah Perikatan Nasional (PN) kerana berkempen dalam keadaan tiada dana selepas akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibekukan.

Ahli Jawatankuasar Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin berkata, keadaan itu mengakibatkan jentera PN tidak dapat bergerak secara agresif dan kurang mengadakan program untuk mendekati pengundi.

"Ini pilihan raya paling teruk, parti tak ada duit, saya cakap betul, daripada pilihan raya hari itu sampai PRN (pilihan raya negeri) baru-baru ini, akaun parti dibekukan malah disita.

"Dia nak ajak kita bertumbuk (bertanding dalam PRK), meh la gaduh tapi dia ikat kaki serta tangan dan serkup muka kita. Lepas tu dia ajak kita bertumbuk.

"Kita tidak mampu menggerakkan jentera pergi berkempen dan program-program juga sangat terhad," katanya dalam Ceramah Kelompok Perikatan Nasional di Unit Daerah Mengundi (UDM) Kampung Ulu, Bakri di sini pada malam Rabu.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Che’gu Bard berharap, situasi itu tidak menghalang jentera untuk terus mendekati pengundi mengikut kemampuan.

Katanya yang juga bekas Pengarah Operasi Jabatan Pilihan Raya Bersatu Johor, kempen perlu dilakukan dalam keadaan lebih strategik dan lebih banyak turun ke akar umbi.

"Kita percaya kalau kita semua tidak berkira dan benar-benar fokus dengan kemenangan, meletakkan kemenangan itu melebihi kepentingan lain untuk berbaki puluh jam lagi sampai Sabtu ini, saya percaya dan yakin kita boleh ubah (situasi dan menang)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau mendakwa, selain sekatan tersebut yang sengaja dikenakan terhadap PN, larangan menggunakan isu kaum, agama dan raja (3R) juga memberi kesan dalam kempen yang dijalankan.

"Soalnya adakah kita orang Islam tak boleh cakap pasal Melayu dan Islam? Adakah kita sedang dijajah? Kita tak boleh sebut (kepentingan orang Melayu dan Islam), kalau orang Cina cakap pasal kepentingan dia, baguslah,

"Begitu juga orang India kerana kelahiran fitrah manusia ini memanglah cakap pasal kepentingan kaum dia dan kepentingan keluarga dia. Jadi apa masalahnya? Bila kita sebut 3R dikatakan kita rasis, teroris. Sebenarnya 3R ini adalah naratif rejim pemerintah campuran sebab dia nak lontar, dia nak guna dan nak tutup semua kegagalan pengurusan ekonomi," katanya.

Mengenai konsep Malaysian Malaysia, beliau berkata, pemimpin UMNO yang membangkitkan perkara itu seakan 'dilempang' apabila DAP mengeluarkan kenyataan untuk tetap tidak berganjak malah terus mempertahankan perjuangan tersebut.

Katanya, tindakan itu merupakan tamparan hebat kepada seluruh kepimpinan UMNO yang sebelum ini lantang menentang konsep tersebut sejak dahulu.