Penglibatan JPKK pastikan proses pelantikan telus, berkesan - Exco

Muhammad Khalil dan laporan Sinar Harian pada Rabu.
Muhammad Khalil dan laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) akan dilibatkan dalam proses pelantikan jawatankuasa masjid di Terengganu.

Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, langkah itu dapat memperkasakan komuniti tempatan selain menggalakkan kerjasama yang erat antara pelbagai agensi kerajaan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

"Bagi memastikan kelancaran pelantikan jawatankuasa masjid di seluruh kariah, JPKK akan dilibatkan secara langsung dalam proses pelantikan tersebut.

"Dengan mengambil kira bidang kuasa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dalam pelantikan ahli jawatankuasa (AJK) masjid, maklumat berkaitan dengan pelantikan mereka itu dapat disampaikan dengan kerjasama JPKK," katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, langkah tersebut diambil bagi memastikan proses pelantikan berlangsung secara harmoni, telus dan berkesan.

Bagaimanapun, pada malam Rabu, Ahli Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mendakwa langkah Pas Terengganu melibatkan JPKK dalam pemilihan jawatankuasa masjid dikhuatiri akan menyebabkan perpaduan antara rakyat sukar dicapai.

Dakwanya lagi, campur tangan politik dalam kalangan pemilihan jawatankuasa masjid akan berlaku sekiranya JPKK terlibat sama.

Artikel Berkaitan: