'Usaha perangi rasuah tiada titik noktah' - Azam Baki

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berucap pada Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Kali Ke-2 Tahun 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Movenpick KLIA pada Rabu. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berucap pada Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Kali Ke-2 Tahun 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Movenpick KLIA pada Rabu. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID.
A
A
A

SEPANG - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus menggiatkan usaha bagi mencegah dan membanteras rasuah, biarpun melalui pelbagai evolusi penuh mencabar dan berdepan dengan pelbagai liku dan getir sepanjang lebih lima dekad penubuhannya.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, perjuangan itu tidak pernah bernoktah dan akan terus menjadikan agenda Malaysia bebas daripada rasuah salah satu tekad dan iltizamnya.

"SPRM sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan untuk mencegah dan menyiasat sebarang bentuk perlakuan rasuah dan salah guna kuasa meletakkan usaha menggalakkan integriti dan mendidik pihak berkuasa awam, pegawai awam dan orang awam tentang rasuah sebagai matlamat dan tanggungjawab utama SPRM sepertimana yang termaktub dalam Akta SPRM 2009.

"SPRM (saya) akan terus komited dalam usaha mencegah dan memerangi rasuah dan sudah pasti usaha ini tidak dapat dilaksanakan secara bersendirian tanpa sokongan dan bantuan daripada semua pihak," katanya pada persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-2 Tahun 2023 di Pusat Konvensyen Movenpick, di sini, pada Rabu.

Pada persidang yang bermula pada hari ini yang menampilkan tema 'Membanteras Rasuah Dalam Kebersamaan: Tiada Noktah' sebanyak 10 kertas penyelidikan akan dibentangkan ia dianjurkan dengan kerjasama institut pengajian tinggi awam dan swasta iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Multimedia (MMU).

Para peserta yang hadir pada Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Kali Ke-2 Tahun 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Movenpick KLIA pada Rabu.
Para peserta yang hadir pada Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Kali Ke-2 Tahun 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Movenpick KLIA pada Rabu.

Persidangan ini sebagai satu platform bagi perancang dasar dan pemain-pemain industri dalam menilai, merancang dan mengambil tindakan bersesuaian dalam membantu mewujudkan masyarakat Madani yang bebas rasuah.

Persidangan ini turut menjadi platform dalam berkongsi dapatan penyelidikan dalam konteks tata kelola, integriti dan antirasuah serta membincangkan isu-isu semasa berkaitan risiko rasuah, pelanggaran integriti dan kelemahan tata kelola yang boleh ditambah baik.

Artikel Berkaitan:

Penganjuran persidangan ini merupakan kesinambungan kepada Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah kali pertama yang diadakan di Pusat Konvensyen Movenpick KLIA Sepang pada 23-24 Mac 2022 yang lalu.

Mengulas lanjut, Azam berkata, tema persidangan ini juga bertepatan dengan teras strategik utama ke-empat di bawah kerangka Malaysia Madani iaitu ‘Mewujudkan Pentadbiran Beramanah’.

Justeru, tegasnya, diharapkan hasil dapatan kajian dan resolusi yang akan dibentangkan dalam persidangan ini membuka minda dan menyediakan formula terbaik bagi seluruh warga persidangan untuk merencana strategi ke arah tata kelola terbaik dan pentadbiran yang telus, cekap dan amanah.

"Oleh yang demikian, saya berharap hasil daripada persidangan ini dapat melihat secara terperinci risiko-risiko rasuah dalam sektor-sektor yang telah dikenal supaya menjadi input yang signifikan dalam penambahbaikan dasar yang sedang dilaksanakan oleh kementerian, jabatan dan agensi masing-masing," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!