Warga Indonesia sembunyi dalam almari baju

Wanita ini dan anaknya ditemui bersembunyi di dalam almari.
Wanita ini dan anaknya ditemui bersembunyi di dalam almari.
A
A
A

SEBERANG JAYA - Lari bersembunyi di dalam almari baju selepas menyedari rumah mereka diserbu penguat kuasa.

Itu yang cuba dilakukan tiga wanita warga Indonesia bersama tiga orang kanak-kanak selepas pintu rumah mereka diketuk untuk pemeriksaan dalam Op Bersepadu yang dilakukan Jabatan Imigresen Pulau Pinang di sebuah rumah pangsa di Lengkok Kelicap Mutiara Perdana, Bayan Lepas malam tadi.

Serbuan yang dilakukan bermula jam 8 malam itu menyebabkan penghuni rumah berkenaan kalut cuba menyembunyikan dan meloloskan diri namun usaha mereka gagal apabila rumah berkenaan terlebih dahulu dikepung oleh 12 anggota penguat kuasa imigresen yang terlibat dalam serbuan berkenaan.

Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Izhan Idris berkata, pemeriksaan yang dibuat di dalam rumah berkenaan berjaya menahan lapan daripada sembilan individu termasuk tiga kanak-kanak yang menghuni di rumah berkenaan.

Menurutnya, terdapat tiga keluarga yang menyewa di rumah berkenaan dan ketika anggota penguat kuasa mengetuk pintu untuk melakukan pemeriksaan mereka pada mulanya enggan memberikan kerjasama.

"Selepas menunggu beberapa minit seorang lelaki membuka pintu dan menyatakan hanya terdapat tiga orang sahaja yang menghuni di rumah itu.

Antara warga asing yang ditahan dalam Op Bersepadu oleh jabatan imigresen malam tadi.
Antara warga asing yang ditahan dalam Op Bersepadu oleh jabatan imigresen malam tadi.

"Namun pemeriksaan lanjut yang dilakukan di setiap bilik menemui isteri mereka sedang bersembunyi bersama anak-anak di dalam almari," katanya ketika dihubungi di sini.

Artikel Berkaitan:

Izham berkata, pemeriksaan yang dilakukan mendapati ada di antara mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah selain ada tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di negara ini.

Beliau berkata, dalam operasi sama, pihaknya memeriksa 22 buah rumah yang dihuni oleh warga asing dan hasilnya seramai 18 pendatang asing tanpa izin ditahan dalam operasi yang dilakukan selama empat jam itu.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki warga Bangladesh, empat lelaki Myanmar, dua lelaki dan lima perempuan Indonesia serta empat orang kanak-kanak.

"Kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Pulau Pinang di Seberang Jaya untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke depoh tahanan warga asing di Juru," katanya.