Kertas siasatan Jasmine Loo sudah dirujuk ke Pejabat AG

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kertas siasatan membabitkan peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara pada bulan lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya telah menyerahkan kertas siasatan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan manakala siasatan di bawah Akta Pencegahan Wang Haram (AMLA) 2001 masih diteruskan ketika ini bagi mengesan aset-aset lain milik Jasmine ," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis penutup Simposium Forensik Kebangsaan ke-4 2023 di Maktab Polis Diraja Malaysia, di sini, pada Khamis.

Pada Isnin, media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyita dan merampas sebahagian aset hasil penyelewengan 1MDB yang didaftarkan atas nama Jasmine.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, aset itu merangkumi hartanah, akaun bank, lukisan, beg tangan berjenama mewah, jam tangan dan dokumen berkaitan dianggarkan bernilai RM93.2 juta iaitu nilai semasa pembelian dibuat pada 2013.

Dalam pada itu, ditanya adakah usaha menjejaki ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low masih jauh, Razarudin berkata, pihaknya sama sekali tidak pernah berhenti menjejaki ahli perniagaan itu.

“Saya sudah cakap sebelum ini, jerat tidak pernah lupakan pelanduk.

“Sama juga seperti Jasmine, orang tidak bertanya mengenai keberadaan dia sebelum ini tetapi kita (polis) berjaya bawa balik..sama juga seperti Jho Low,” katanya.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sudah memulakan soal siasat terhadap bekas peguam Jasmine sejak Isnin lalu.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, Jasmine Loo kini disiasat berhubung jenayah rasuah dan pengubahan wang haram.

Jasmine Loo yang juga sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low ditahan polis pada 7 Julai lalu bagi membantu siasatan isu penyelewengan dana syarikat berkenaan.