Hishammuddin cabar kerajaan bukti beliau dapat habuan

Hishammuddin dan Mohamad
Hishammuddin dan Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mencabar kerajaan supaya membuktikan dirinya terlibat dalam skandal projek land swap yang ditandatangani di bawah pentadbirannya.

Jelas beliau, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong perlu membuktikan bahawa beliau mendapat habuan daripada projek tersebut.

"Saya cabar Mohamad Sabu dan Chin Tong untuk membuktikan saya mendapat habuan secara kewangan dan politik.

"Nasihat saya kepada mereka berdua, jika mereka tinggal di rumah kaca jangan baling batu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar bahawa kerajaan dianggarkan mengalami kerugian atau ketirisan melebihi RM500 juta sepanjang tempoh pelaksanaan 16 projek land swap Kementerian Pertahanan.

Laporan akhbar pada 9 Mei lalu itu mendakwa 13 daripada 16 projek itu dilakukan semasa zaman pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang membabtikan Hishammuddin dan Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Turut dilaporkan terdapat banyak banyak percanggahan ditemui termasuk penjualan tanah pada harga yang rendah, sementara projek yang lain pula diberikan kepada pemaju yang tidak berkelayakan.

Bagaimanapun, Mohamad Sabu menafikan pembabitan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan Tan Sri Syed Hamid Albar sebagai Menteri Pertahanan pada ketika itu.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan laporan, 16 projek seluas 1,183 hektar yang terlibat ialah Jalan Ampang, Kuala Lumpur; Tanah Batu Uban, Pulau Pinang; Bukit Raja, Selangor; Plentong, Johor; Tanah Rata, Pahang; Bandar Kinrara, Selangor dan Stampin, Sarawak.

Perincian projek itu dibentangkan dalam Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan Dan Kewangan Kerajan (JKSTUPKK) Berhubung pelaksanaan projek land swap Kementerian Pertahanan di Dewan Negara.

Berdasarkan rekod, Kementerian Pertahanan menjadi agensi pertama disiasat oleh JKSTUPKK sejak Jawatankuasa ini ditubuhkan atas inisiatif Kerajaan pada 30 Mei 2018.

Dalam butiran berasingan, Laporan tersebut turut menyatakan enam (6) kelemahan dan dua belas (12) syor pelaksanaan land swap.