Sentimen agama, bangsa dalam kempen PRK tidak sesuai - Fadhli Umar

Fadhli Umar Aminolhuda - Foto Sinar Harian/Rosli Talib
Fadhli Umar Aminolhuda - Foto Sinar Harian/Rosli Talib
A
A
A

SHAH ALAM - Sentimen dan permainan agama dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram tidak sesuai digunakan lebih-lebih lagi menerusi konteks Bangsa Johor.

Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, kriteria calon bagi kawasan DUN tidak boleh dinilai berdasarkan konteks agama mahupun bangsa semata-mata, namun ia perlu seiring dengan tawaran yang mampu diberikan kepada rakyat.

Menurut beliau, seharusnya tidak menjadi isu kerana semua calon yang bertanding ialah orang Melayu dan beragama Islam.

"Parti Amanah ditubuhkan dengan asasnya Islam, jadi saya tidak suka melebih-lebih kerana kita mewakili Bangsa Johor dan bukan cara kita berpolitik sedemikian.

"Isu ini bukan sama ada individu lebih Islam, tetapi apakah tawaran terbaik yang kita beri kepada rakyat di Simpang Jeram dan Pulai?" katanya dalam Wacana Sinar yang bertajuk ‘PRK: Mood tiga penjuru’ yang dihoskan oleh Ismail Adnan pada Selasa.

Turut hadir sebagai panel Naib Ketua Pemuda UMNO Johor, Dr Mohammad Aswad Ithnain, Naib Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bersatu (Bersatu), Syafiq Aziz dan Timbalan Ketua Pemuda Pas Johor, Mohd Azlan Alias.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 9 September, manakala pengundian awal berlangsung 5 September.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan berikutan kematian penyandangnya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas, akibat pendarahan dalam otak.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, menurut Fadhli Umar, walaupun menerima saingan hebat, namun beliau tetap yakin Pakatan Harapan (PH) mempunyai kelebihan menerusi komposisi kaum di kedua-dua kawasan DUN tersebut.

Ujarnya, kerjasama yang baik antara Barisan Nasional (BN) dan PH mampu meraih kemenangan pada PRK kali ini.

"Hasil pemerhatian di lapangan ketika berkempen menyaksikan sokongan orang Melayu terhadap gabungan PH-BN diterima baik.

"Ini menunjukkan sokongan bukan Melayu dan orang Melayu mampu meraih kemenangan pada PRK di kedua-dua kawasan," katanya.